PRU14: 20 kerusi dimenangi majoriti kurang 1,000 undi


The Malaysian Insight

MAJORITI kurang 1,000 undi menentukan kemenangan di 20 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum yang lalu, dengan 14 daripadanya mempunyai undi rosak yang lebih tinggi berbanding undi kemenangan.

Sebanyak 11 daripada 20 kerusi itu dimenangi oleh Barisan Nasional (BN), enam PKR dan masing-masing satu kerusi oleh PAS, Warisan dan Star.

Antaranya kerusi tumpuan Ayer Hitam yang dimenangi oleh Timbalan Presiden MCA Wee Ka Siong mengalahkan penggerak strategi Pakatan Harapan (PH), Liew Chin Tong dengan kelebihan 303 undi. Undi rosaknya 556.

Bekas menteri luar Anifah Aman mempertahankan kerusi Kimanis dengan hanya 156 undi, dengan undi rosak sebanyak 385. Beliau menewaskan Karim Bujang dari Warisan dan Jaafar Ismail dari Parti Harapan Rakyat Sabah yang hilang deposit.

Kerusi lain yang mempunyai undi rosak lebih besar daripada majoriti kemenangan ialah Jerai dimenangi oleh PAS dengan kelebihan 539 undi manakala undi rosak 1,012.

Kerusi yang dimenangi oleh BN dengan majoriti tipis tetapi mempunyai undi rosak lebih tinggi termasuk Tasek Gelugor (majoriti 81/undi rosak 689), Bagan Serai (172/865), Tapah (614/760), Cameron Highlands (597/790), Jasin (219/912) dan Libaran (678/948).

PKR pula menang kerusi sebegitu di Lumut (400/1,081), Kuala Pilah (200/769) dan Tanjong Piai (524/841).

Jeffrey Kitingan pula muncul ahli Parlimen yang menang dengan majoriti paling kecil sebanyak 45 undi. Beliau mengalahkan bekas ketua Pemuda PBS, Jake Niontin yang menyertai Warisan serta empat calon lain.

Penyandang kerusi Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi kalah dengan 714 undi kepada calon PKR Muslimin Yahya, yang keluar Umno sehari sebelum penamaan calon untuk menyertai Bersatu. – 15 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen