Shahrir terpaksa pikul ‘biawak hidup’ dalam Felda, kata Anak


The Malaysian Insight

BEKAS pengerusi Felda, Shahrir Abdul Samad seorang yang berwibawa tetapi terpaksa memikul “biawak hidup” tinggalan pengerusi sebelumnya, kata Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).

Presiden Anak Mazlan Aliman berkata tugas Shahrir amat berat kerana mengambil alih Felda yang berada dalam krisis yang buruk.

“Shahrir memikul ’ biawak hidup ’ tinggalan pengerusi Felda sebelumnya.

“Meskipun beliau mencuba sedaya mungkin melakukan baik pulih, dek kerosakan yang terlalu besar, tidak banyak yang mampu dilakukan,” kata Mazlan dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Shahrir yang juga bekas ahli Parlimen Johor Baru meletakkan jawatan berkuatkuasa serta merta.

Shahrir mengambil alih jawatan pengerusi Felda daripada Isa Abdul Samad yang didakwa kerana tuduhan rasuah semasa memimpin Felda.

 Pada PRU14 lalu, Shahrir tewas di tangan calon muda PKR Akmal Nasir.

Dalam kenyataannya semalam Shahrir berkata, surat peletakan jawatan juga sudah dihantar kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Memandangkan saya dilantik sebagai pengerusi Felda oleh kerajaan sebelum ini, adalah wajar untuk saya melepaskan jawatan di dalam institusi yang diterajui oleh kerajaan baharu,” katanya.

Mazlan berkata, selaku “orang luar” Shahrir tentu terbeban untuk memulihkan kepercayaan warga peneroka itu, dengan berbagai-bagai isu.

“Jika kita tidak mempunyai ‘roh’ atau sentuhan dalam menjiwai kehidupan para peneroka, sukar untuk kita menyelesaikan episod duka yang dihadapi mereka selama puluhan tahun.

“Saya simpati dengannya. Saya ingin membantunya, mahu bertemunya, namun tiada respons sampai dia meletakkan jawatan semalam,” katanya.

Mazlan berkata Shahrir adalah antara pimpinan Umno yang mempunyai wibawa tersendiri.

“Saya mempunyai pandangan berbeza sewaktu beliau dilantik menjadi pengerusi Felda pada 6 Januari, 2017.

“Apa pun, Anak hargai sumbangan beliau, tika menerajui Felda. Walaupun singkat, warga Felda tetap mengingatinya,” katanya. – 15 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen