Umno berdelusi, tidak sedar petanda 'tsunami', kata Khairy Jamaluddin


The Malaysian Insight

IA adalah penilaian keras Khairy Jamaluddin ketika menjelaskan punca mengapa Umno tidak nampak kedatangan “tsunami rakyat Malaysia” yang melanda sehingga menyebabkan mereka kalah teruk pada pada 9 Mei.

Ketua Pemuda Umno itu mengakui kepimpinan parti terlibat dalam hal ini, tidak menyedari tanda-tanda yang Najib Razak tidak popular di kalangan rakyat.

“Apa yang berlaku ialah kita berdelusi; kita mabuk disebabkan Kool-Aid sendiri dan terbawa-bawa.

“Kami tidak mahu mengambil risiko. Tiada siapa, selepas Muhyiddin disingkir, selepas Shafie disingkirkan ... Tiada siapa mahu mengakui kita ada masalah. Itu adalah satu kesilapan besar di pihak kita,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Channel News Asia.

Bekas timbalan presiden parti dan timbalan perdana menteri Muhyiddin Yassin serta bekas naib presiden Shafie Apdal disingkir daripada Kabinet Najib Razak selepas mengkritiknya mengenai skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Pakatan Harapan (PH), yang diketuai oleh Dr Mahathir Mohamad, memenangi 122 daripada 222 kerusi Parlimen, mengalahkan BN, yang berjaya memenangi 79 kerusi.

 Khairy berkata kegagalan bercakap benar demi melindungi Najib adalah sesuatu yang secara peribadi beliau terpaksa telan sepanjang hayatnya.

 “Adakah ada sebarang isyarat? Ya, ada isyarat yang jelas tetapi kita tidak sedar akan isyarat itu.

“Ini tidak boleh berlaku lagi, kita tidak boleh membiarkan pemimpin kita dalam Umno terpisah daripada realiti dan tidak bertanya soalan yang sukar. Jika kita meneruskan pemikiran feudal untuk melindungi pemimpin daripada sebarang kebenaran, Umno akan pupus,” katanya.

Khairy juga menambah Umno tidak mampu membuat kesilapan yang sama dengan menukar ketua parti sahaja, seperti yang dilakukan pada 2008 apabila BN menggantikan bapa mertuanya dan Perdana Menteri Abdullah Badawi dengan Najib selepas gabungan yang memerintah kehilangan majoriti dua pertiga.

 “Mereka berfikir dengan mengubah ketua, segala-galanya akan pulih sendiri. Kita tidak boleh membuat kesilapan yang sama sekali lagi.

“Ia bukan hanya penolakan terhadap Najib, tetapi juga penolakan terhadap Umno dan BN, penolakan sistemik terhadap apa yang kita ada. Jika kita boleh terima itu, kita boleh mula membina semula parti ini,” katanya. – 15 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen