TV3 diperintah bayar Anwar RM1.1 juta


The Malaysian Insight

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur semalam mengarahkan stesen televisyen TV3 membayar RM1.1 juta kepada Anwar Ibrahim kerana mengaitkannya dengan pencerobohan Lahad Datu di Sabah lima tahun lalu.

Anwar bertindak memfaikan saman TV3 Media Prima kerana menghina beliau dalam Buletin Utama berdasarkan artikel yang diterbitkan oleh Utusan Melayu di bawah tajuk “Tiga kumpulan menjadi dalang” pada 2 Mac 2013.

Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim memerintahkan TV3 membayar ganti rugi am sebanyak RM600,00, ganti rugi teruk sebanyak RM250,000, ganti rugi teladan RM250,000 serta kos RM40,000.

Hakim berpendapat TV3 sebagai pihak kedua yang didakwa gagal mempraktikkan kewartawanan yang bertanggung jawab dengan tidak mendapatkan pengesahan daripada Anwar sebelum menyampaikan berita tersebut.

“Mengikut keterangan saksi defendan, mereka menyiarkan laporan berita itu berdasarkan artikel daripada Utusan, tetapi akhbar itu mengakui artikel itu tidak benar dan fitnah terhadap plaintif (Anwar). Bagaimanapun, TV3 berkeras dan tiada penyelesaian dibuat antara TV3 dan plaintif,” katanya dalam satu laporan Bernama.

Selepas mempertimbangkan keadaan kes itu, hakim mendapati laporan berita itu membabitkan plaintif dan berkata ganti rugi umum sebanyak RM600,000 adalah munasabah.

“Terdapat  niat jahat dalam laporan berita itu, ini dapat dilihat daripada tindak-tanduk CEO TV3, walaupun Utusan Malaysia sudah mengakui berita yang diterbitkan palsu tetapi TV3 masih berkeras.

“Saya rasa berdasarkan itu mahkamah membenarkan tuntutan plaintif bagi ganti rugi teruk dan teladan masing-masing berjumlah RM250,000,” katanya.

Pada 8 Mac 2013, Anwar memfailkan saman terhadap Utusan Melayu; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Abdul Aziz Ishak; TV3; Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen dan Radio, Media Prima Bhd Shaharudin Abd Latif dan Pengarang Berita Buletin Utama, Ing Boon Seng sebagai defendan.

Bekas ahli Parlimen Permatang Pauh dan ketua umum PKR itu, dalam pernyataan samannya merujuk kepada artikel yang diterbitkan oleh Utusan Melayu di muka depannya, “Ketua Pembangkang dikaitkan dengan pencerobohan?” dan satu lagi di halaman sembilan, “Tiga kumpulan menjadi dalang”.

Anwar juga berkata TV3 pada hari yang sama antara 8 dan 9 malam menyiarkan berita mengenai pencerobohan di Lahad Datu berdasarkan laporan berita yang diterbitkan oleh Utusan Melayu.

Pada 5 Oktober 2016, beliau mencapai persetujuan dengan Utusan Melayu dan Aziz untuk menyelesaikan kes itu. – 15 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen