PULAU PINANG, negeri pelancongan terkenal berkata wang yang dikutip daripada cukai pelancongan yang baru diperkenalkan kerajaan persekutuan sepatutnya dikembalikan kepada negeri.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kementerian pelancongan sepatutnya memberikan jaminan kepada negeri yang mereka bakal menerima faedah daripada kutipan cukai itu.
“Katakan Sarawak menyumbang RM20 juta, jadi negeri akan dapat balik jumlah itu. Mereka akan sokong,” katanya semasa satu sidang akhbar hari ini.
Lim juga berkata yang Pulau Pinang turut mengharapkan yang cukai baru itu yang dijadualkan akan dikuatkuasakan bermula 1 Julai depan boleh ditangguhkan.
Katanya jumlah kutipan dalam cukai baru cadangan kerajaan pusat itu mengejutkan pengendali hotel.
“Sekiranya ada sebarang jaminan bagaimana hasil cukai akan dibahagikan dan dibelanjakan, itu lebih baik,” katanya.
Lim diminta mengulas tentang cukai pelancongan baru yang berasaskan taraf premis penginapan berdaftar.
Penginapan lima bentang perlu membayar levi RM20 sebilik untuk satu malam; empat bintang (RM10); tiga hingga dua bintang (RM5); dan premis kediaman tidak bertaraf (RM2.50).
Di Pulau Pinang, pelancong yang tinggal di hotel juga perlu membayar levi pada kadar RM3 semalam untuk kediaman lima dan empat bintang, dan RM2 semalam untuk kediaman tiga bintang dan ke bawah.
Levi yang diperkenalkan kerajaan negeri pada Jun 2014 itu tidak akan dihapuskan kerana pengenalan cukai baru kerajaan pusat, kata Lim.
“Kami mempunyai struktur berkesan untuk levi itu dan kami berunding dengan pengendali hotel di negeri ini tentang bagaimana kutipan wang itu akan dibelanjakan.
“Pengendali hotel di sini tahu ke mana wang itu dibelanjakan. Kami juga hanya mengutip jumlah yang kecil,” katanya.
Ketika ditanya pandangannya tentang penarikan diri Sarawak dari Lembaga Pelancongan Malaysia berkuat kuasa serta merta hari ini, Lim berkata negeri itu mempunyai hak untuk berbuat demikian.
“Tetapi masih tidak jelas kesan keputusan itu,” katanya.
Dalam satu kenyataan hari ini, pejabat ketua menteri Sarawak berkata yang kerajaan negeri merasakan tidak perlu untuk mempunyai wakil di Pelancongan Malaysia kerana fungsi dan peranannya bertindih dengan Lembaga Penggalakan Pelancongan Sarawak.
Keputusan itu diambil selepas pertempuran mulut tercetus antara Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Abdul Aziz dan Menteri Pelancongan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah yang sebelum itu meminta supaya cukai pelancongan di negeri itu ditangguhkan.
Nazri menggelarkan Karim yang baharu dilantik menjadi menteri bulan lepas sebagai “jagung mentah” dan dilaporkan memberitahu menteri negeri baru itu supaya mendiamkan diri.
Kenyataan Nazri itu mencetuskan kemarahan rakyat dan ahli politik Sabah dan Sarawak. – 12 Jun, 2017.
Komen