KETUA umum PKR Anwar Ibrahim yang dijadualkan menerima pengampunan diraja dan dibebaskan esok, akan memerlukan masa untuk sembuh sebelum kembali aktif dalam politik, kata Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Presiden PKR yang juga isteri Anwar itu menggesa rakyat Malaysia memberikan Anwar ruang dan membenarkan peralihan kuasa persekutuan kepada Pakatan Harapan (PH) berjalan lancar dan aman.
“Biar dia pulihkan dulu kesihatannya dan membenarkan proses peralihan berjalan lancar sebelum beliau kembali ke politik,” katanya dipetik daripada Bernama.
“Kesihatannya bertambah baik dan kami menunggu pembebasannya untuk menyambut Ramadan bersama keluarga dan menunaikan solat terawih.”
Wan Azizah yang juga timbalan perdana menteri berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sendiri memaklumkan kepadanya bahawa Lembaga Pengampunan akan mengadakan mesyuarat hari ini untuk mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan pembebasan Anwar dari penjara. – 15 Mei, 2018.
Komen