Kesenyapan rakyat buat Umno dan Malaysia tergamam


The Malaysian Insight

MENJELANG hari membuang undi pada 9 Mei, Najib Razak dan menteri Umno yakin mereka akan menang.

Mereka dikatakan dapat merasakan kemarahan kebanyakan rakyat Malaysia berkurangan, berbanding lima tahun lalu. Isu tentang cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan kos sara hidup juga kurang dimainkan oleh Pakatan Harapan (PH).

Bayangkan betapa terkejut mereka apabila pemimpin kanan Umno bukan saja ditewaskan, tetapi kalah teruk dengan kehilangan kawasan kubu kuat mereka menerusi ribuan undi.

Najib dan Umno terpedaya dengan tindakan rakyat untuk berdiam (spiral of silence), kata Ibrahim Suffian dari Kajian Pendapat Merdeka Center.

Idea itu menjelaskan kecenderungan rakyat untuk berdiam kerana takut berdepan pengasingan dan pembalasan. Di penempatan Felda, mereka mungkin takut menyuarakan pendapat kerana bimbang diketepikan dan dipulaukan oleh peneroka lain.

Bagi penjawat awam dan penyokong tradisional mereka, jika menunjukkan isyarat mereka menentang Najib atau bosan dengan parti politik atau calon tempatan, mungkin boleh menyebabkan mereka diasingkan atau lebih teruk, diturunkan pangkat.

Jadi, daripada bercakap secara terbuka, mereka memilih untuk senyap tetapi tekad akan mengundi menentang Umno.

Najib dan menterinya salah anggap bahawa diam itu adalah sokongan untuk mereka. Keputusan awal analisis PRU14 menunjukkan bahawa undi protes oleh penyokong Umno dan kebangkitan menentang GST menyebabkan kejatuhan Barisan Nasional (BN).

Undi protes itu yang beralih-alih pada tiga hari terakhir kempen, teragih antara PAS dan PH, bergantung pada entiti politik dominan di kawasan tertentu.

“Undi protes di Pantai Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) dan Kedah dapat kepada PAS sementara undi protes Pantai Barat pergi ke PH,” kata Ibrahim yang juga pengarah Merdeka Center.

“Kerusi Putrajaya ialah contoh di mana daripada 97% undi Melayu dan penjawat awam, BN hanya dapat 49.5% sementara PH 36.7% dan PAS dapat 14.8%,” katanya.

Ibrahim berkata PH dan PAS juga menawan 26 kerusi Parlimen di kawasan Felda berbanding hanya empat pada 2013.

Badan kaji selidik itu berkata jumlah awal juga menunjukkan sokongan untuk BN menurun sehingga 10% dalam kalangan anggota polis dan 20% kalangan anggota tentera.

Dalam pembentangan di sebuah forum semalam, Ibrahim berkata undi popular keseluruhan untuk BN jatuh daripada 37.3% pada PRU13 kepada 31.7%.

Beliau berkata sokongan Melayu untuk BN jatuh daripada 44.3% pada 2013 kepada 35%-40% dan sokongan India jatuh daripada 41.3% kepada 20%-25%. Sokongan Cina untuk BN dianggarkan sekitar 5% (15.8% pada 2013).

Parti Islam PAS juga meningkatkan undi Melayu mereka daripada 28.1% kepada 30%-33% sementara undi daripada bukan Melayu sekitar 5%. Secara keseluruhan PAS mendapat 19.4% undi popular.

Sebaliknya, PH menang 48.7% undi popular dengan sokongan kuat daripada semua kumpulan kaum utama.

Dr Mahathir Mohamad dan rakan-rakannya daripada Bersatu, DAP, Amanah dan PKR menang 30% undi Melayu, 95% undi Cina dan 75% daripada undi India. – 15 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen