BN tubuh jawatankuasa khas bincang pembaharuan parti 


The Malaysian Insight

BARISAN Nasional (BN) akan tubuhkan satu jawatankuasa khas bagi melihat pembaharuan parti itu selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu, kata Khairy Jamaluddin.

Ketua Pemuda BN itu bagaimanapun tidak mendedahkan keanggotaan jawatankuasa tersebut.

“Mesyuarat malam ini membincangkan mengenai hala tuju BN. Kita ada satu ‘task force’ untuk lihat segala ‘reform’ dalam BN, tak tahu lagi siapa ada dalam taskforce tu,” katanya, ketika ditemui selepas mesyuarat majlis tertinggi BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Sementara itu, Presiden MIC Dr S Subramaniam berkata BN masih lagi kukuh dan kekalahan teruk parti komponen BN dalam PRU14 akan menjadikan mereka pembangkang yang baik.

“Kami akan membuat beberapa perubahan yang perlu untuk memastikan parti boleh terus bergerak ke hadapan,” katanya.

Presiden MCA Liow Tiong Lai pula berkata, setiap parti komponen BN perlu mengadakan “post-mortem” susulan kekalahan mereka.

“BN masih lagi kukuh namun ada parti yang mengumumkan untuk meninggalkan BN,” katanya.

Beliau berkata MCA juga akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu bagi melaksanakan post mortem mereka.

Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak ( SUPP), Richard Riot Jaem yang ditemui pemberita juga mengesahkan partinya masih bersama BN.

“BN masih tidak terkesan, kamu nampak saya di sini, maknanya saya masih di sini (bersama BN),” katanya, ringkas. – 14 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen