MENTERI kewangan yang akan dilantik Lim Guan Eng memberi gambaran bahawa akaun negara berada dalam keadaan kucar-kacir.
Menurutnya, beliau bercakap dengan beberapa pegawai daripada agensi di bawah Kementerian Kewangan dan melihat akaun berkenaan dan mendapati terdapat masalah.
“Saya masih belum mengangkat sumpah. Saya hanya dinamakan sebagai menteri kewangan oleh perdana menteri Dr Mahathir Mohamad. Saya berterima kasih kepada beliau (atas kepercayaannya kepada saya dengan jawatan itu).
“Saya takkan buat kenyataan tentang portfolio, tetapi saya telah bercakap dengan ramai pegawai dari agensi di bawah kementerian.
“Saya mahu melihat akaun negara. Saya lihat sesuatu yang belum pernah kita tahu..saya fikir “ada ke perkara ini?” katanya kepada ribuan yang hadir pada ceramah mega yang diadakan di Esplanade malam ini.
Ceramah berkenaan dianjurkan bagi mengucapkan terima kasih kepada pengundi dan mengalu-alukan pelantikan ketua menteri baharu Chow Kon Yeow serta ucapan perpisahan kepada Lim yang merupakan bekas ketua menteri negeri.
“Saya tidak boleh dedahkan butirannya, tetapi apa yang saya boleh cakap kami akan bekerja keras untuk memulihkan kewangan negara. Ini janji saya,” kata Lim.
Pakatan Harapan menyingkirkan Barisan Nasional daripada Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke 14 yang diadakan 9 Mei lalu.
Lim berkata, bukan mudah untuk singkirkan BN, tetapi rakyat sememangnya memberi pengajaran kepada pakatan pemerintah terdahulu tentang kuasa rakyat pada pilihan raya kali ini.
Beliau yang juga ahli Parlimen Bagan dan Adun Air Putih turut berjanji akan bekerja keras dan meneruskan perjuangan untuk Pulau Pinang dan Malaysia.
“Kami akan bekerja sebagaimana kami bekerja di Pulau Pinang.
“Saya akan rindukan Pulau Pinang. Saya tidak akan lupakan bagaimana Pulau Pinang menyokong dan menjaga saya. Saya akan lebih kerap kembali. Hati saya sentiasa di tempat tinggal saya, di Pulau Pinang,” katanya.
Lim menerajui kerajaan negeri Pulau Pinang selama dua penggal sejak pilihan raya umum 2008. PH mendapat lebih banyak majoriti dan memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum sejak itu.
Pada pilihan raya umum baru-baru ini, PH memenangi 37 daripada 40 kerusi di Pulau Pinang. BN hilang lapan kerusi dan hanya tinggal dua kerusi manakala PAS hanya memenangi satu kerusi.
Bagi kerusi Parlimen PH memenangi 11 daripada 13 kerusi manakala BN hanya mampu kekalkan dua kerusi. – 14 Mei, 2018.
Komen