Zenith sedia beri taklimat kepada kerajaan negeri berhubung status projek 


The Malaysian Insight

SYARIKAT Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd, yang bertanggungjawab membina terowong dasar laut dan tiga lebuh raya Pulau Pinang akan memberi taklimat kepada kerajaan Pulau Pinang berhubung status projek terbabit selepas exco baharu mengangkat sumpah, kata pengerusinya Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

“Kami komited. Sudah lima tahun. Kami bersemangat untuk terus ke hadapan.

“Kami akan maklumkan status dua jalan raya yang kami telah dapat kelulusan EIA (penilaian impak alam sekitar) dan kajian kelayakan untuk pembinaan terowong yang sudah 97% lengkap,” katanya ketika ditemui pada ceramah mega Pakatan Harapan Pulau Pinang di Esplanade malam ini.

Zarul merupakan antara ribuan hadirin yang turut serta memeriahkan acara pada malam ini, yang mana penyokong turut mengibarkan bendera DAP selain bendera PKR yang digunakan pada PRU14.

Zenith berdepan masalah dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kritikan daripada Barisan Nasional sebelum pilihan raya yang menyebabkan keraguan sama ada projek mega itu wajar diteruskan atau sebaliknya.

Projek terowong dan lebuh raya itu dicadangkan lima tahun lalu sebelum pilihan raya umum 2013. Konsortium Zenith menang tender terbuka yang dibuat oleh kerajaan PH untuk mengambil alih projek berkenaan daripada China Railway Construction Corporation sebagai kontraktor.

Projek yang menelan kos berbilion ringgit itu menjadi kontroversi dan tidak popular dengan BN, yang berazam untuk membatalkannya dalam manifesto pilihan raya 2018.

Pada 2016, terdapat aduan dibuat kepada SPRM untuk menyiasat projek berkenaan. Setakat ini tiada sebarang hasil daripada siasatan berkenaan.

Pada Januari tahun ini, satu lagi siasatan dijalankan oleh SPRM di pejabat Zenith, rakan kongsi pembangunannya Ewein, jabatan kerajaan dan beberapa serbuan lain.

Tuduhan itu membabitkan saluran berbilion ringgit kepada ahli politik.

Zarul merupakan antara individu yang direman bagi membantu siasatan. Ramai ahli perniagaan, perunding, penjawat awam dan ahli exco kerajaan negeri turut ditahan untuk disoal siasat.

Terdahulu hari ini, ketua menteri yang baharu Chow Kon Yeow berkata projek berkenaan akan diteruskan. – 14 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen