Lembaga Pengampunan kes Anwar mesyuarat Rabu ini


The Malaysian Insight

MESYUARAT Lembaga Pengampunan berhubung pembebasan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim ditangguhkan ke Rabu, berbeza dengan laporan sebelum ini yang mengatakan ia akan diadakan esok, kata Fahmi Fadzil.

Pengarah komunikasi PKR itu berkata, beliau diberitahu oleh Pejabat Perdana Menteri hari ini bahawa akan ada kelewatan dalam proses pendengaran berkenaan.

“Keadilan telah menerima makluman terkini daripada Jabatan Perdana Menteri bahawa Lembaga Pengampunan akan mengadakan mesyuarat pada Rabu, 16 Mei,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata sebarang program berkaitan pembebasan Anwar akan ditunda sehingga dimaklumkan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata mesyuarat itu ditangguhkan berikutan keputusan kerajaan menggantung tugas Peguam Negara Mohamed Apandi Ali.

Katanya tugas Apandi akan diambil alih peguam cara negara yang akan turut serta dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Diraja pada hari Rabu.

“Bagi proses pengampunan, orang yang akan hadir ke mesyuarat itu adalah peguam cara negara,” kata Dr Mahathir.  – 14 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen