KETUA Parti Rakyat Sarawak (PRS), James Masing, berkata tidak akan keluar Barisan Nasional (BN).
Timbalan ketua menteri Sarawak itu berkata beliau tidak akan mengkhianati organisasi yang menawarkannya dan partinya peluang untuk berkhidmat kepada rakyat Sarawak dengan baik.
Beliau turut menceritakan mengenai suka duka yang dihadapinya dan keluarganya ketika bersama pembangkang.
“Saya berada di pihak pembangkang selama lapan tahun. Untuk terus hidup, saya dan isteri saya menanam padi untuk menyara tiga anak saya yang masih bersekolah.
“Ia amat sukar,” kata Masing merujuk khabar angin yang mengatakan BN Sarawak akan menyertai Pakatan Harapan (PH).
Ahli antropologi dan bekas ketua Pemuda Parti Negara Dayak Sarawak (PBDS) - yang sudah dibubarkan - menceritakan pengalamannya itu semasa menjadi ahli parti yang bersekutu dengan pasukan pembangkang yang diketuai seorang bekas ketua menteri Abdul Rahman Yaakub yang gagal menjatuhkan pentadbiran ketua menteri ketika itu Abdul Taib Mahmud.
Ia merupakan krisis politik yang berlaku pada 1987 atau dikenali sebagai “Ming Court Affair”, dinamakan demikian bersempena tempat perjumpaan Abdul Rahman dan ahli politik Sarawak di Hotel Court Ming (sekarang Hotel Chorus) di Kuala Lumpur untuk merancang pengambilalihan pentadbiran negeri Sarawak.
Masing berkata penderitaannya berterusan selepas pihaknya kalah kepada BN dalam dua pilihan raya negeri, iaitu pada 1987 dan 1991, di mana PBDS kalah teruk.
“Selepas pilihan raya 1991, kami menghormati hasrat majoriti dan menyertai semula BN pada tahun 1994.”
Masing, yang mewakili kawasan luar bandar majoriti Dayak iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh sejak tahun 1983, dilantik sebagai menteri.
“Ia adalah gaji yang jujur untuk pekerjaan jujur seperti mana-mana menteri lain dalam kerajaan Malaysia.
“Saya sentiasa berterima kasih kepada kerajaan BN kerana memberi saya peluang untuk berkhidmat kepada rakyat Sarawak.
“Saya tidak akan lupa atau mengkhianati organisasi yang menawarkan peluang kepada saya.”
PRS hilang tiga daripada enam kerusi Parlimen yang ditanding mereka dalam pilihan raya umum - kekalahan paling besar berbanding parti negeri lain dalam gabungan BN; Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Rakyat (PDP).
Apa yang menyedihkan untuk Masing dan PRS adalah mereka kehilangan dua kerusi kepada calon bebas dan yang ketiga kepada “orang luar” - yang merupakan etnik Lun Bawang. – 14 Mei, 2018.
Komen