AKHBAR dalam kumpulan New Straits Times tidak memihak, kata Abdul Jalil Hamid kepada kakitangan editorial dalam satu mesyuarat yang diadakan petang ini berhubung cabaran baharu yang akan dihadapi mereka berikutan peralihan kerajaan.
Ketua pegawai eksekutif The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad memaklumkan kakitangannya bahawa kandungan online dan bilik berita hasilkan sejak hari mengundi adalah neutral dan tidak memihak.
“Kami tidak memihak. Kami mahu laporan yang seimbang dan menyokong semua dasar kerajaan. Kami menyediakan berita kedua-dua pihak,” kata Jalil pada mesyuarat berkenaan.
“Kami mengalu-alukan komitmen kerajaan Pakatan Harapan untuk memperkasakan kebebasan media.”
Akhbar terbitan kumpulan itu - New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro - dituduh oleh pembangkang menjalankan kempen menentang PH dengan laporan berat sebelah dan tidak adil.
PH dan pengerusinya Dr Mahathir Mohamad digambarkan secara negatif dengan hanya sedikit usaha untuk menyiarkan penafian pakatan berkenaan kepada serangan Barisan Nasional ketika tempoh berkempen.
Mesyuarat berkenaan diadakan oleh Jalil hari ini selepas rakan setugasnya editor pengurusan Berita dan Hal Ehwal Semasa kumpulan Media Prima Mohamad Ashraf Abdullah digugurkan.
Pengguguran Ashraf adalah sebagai langkah permulaaan oleh Media Prima untuk meredakan pimpinan baharu di Putrajaya.
Sejak Dr Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, penyokong kerajaan baharu itu menyenaraikan individu yang dirasakan mereka patut disingkirkan kerana didakwa menyebarkan pembohongan dan bertindak tidak adil terhadap PH.
Nama Ashraf merupakan yang disebut dalam beberapa senarai itu kerana apa yang dilakukan menerusi Buletin Utama terhadap Dr Mahthir dan kritikan bekas perdana menteri Najib Razak.
Nama Jalil juga disebut-sebut dalam kalangan media sebagai salah seorang yang mungkin berdepan nasib yang sama.
Bagaimanapun, beliau masih terselamat, setakat ini. – 14 Mei, 2018.
Komen