WALAUPUN berdepan prestasi pilihan raya paling teruk dalam sejarah, Barisan Nasional perlu memainkan peranan menjadi pembangkang yang kompeten bagi mewujudkan ‘check and balance’ kepada kerajaan baharu, kata pemimpin Pakatan Harapan, Wan Saiful Wan Jan hari ini.
Wan Saiful yang bertanding di kerusi Parlimen Pendang namun tewas kepada PAS berkata, ‘Buku Harapan’ PH mengandungi manifesto mereka termasuk penyediaan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang agar mereka boleh berfungsi.
“Jika kita tidak mempunyai pembangkang yang berfungsi, kita akan menjadi satu lagi Umno-BN.
“Sekiranya tiada pembangkang yang berfungsi untuk bangkit pada PRU15 dan mencabar kita serta menyediakan naratif yang lebih baik berbanding apa yang kita tawaran, semua jenis sikap berpuas hati akan wujud dan ia sangat berbahaya,” katanya.
Beliau turut menekankan dalam manifesto, pemimpin pembangkang juga akan diberikan status dan kebenaran sama rata dengan menteri persekutuan.
Terdahulu, Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong berkata ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin memiliki kualiti yang menjadikan beliau sebagai pemimpin pembangkang yang kuat.
Dalam forum bertajuk “Keeping the Promise of Reform” hari ini, pakar strategi PKR itu berkata, menjadikan Khairy sebagai ketua pembangkang “merupakan sesuatu yang baik untuk negara”.
Barisan Nasional (BN) berdepan kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) yang diadakan pada Rabu lalu, dengan hanya memenangi 79 kerusi Parlimen manakala PH memenangi 122 kerusi Parlimen.
Berikutan kekalahan itu, bekas perdana menteri Najib Razak meletakkan jawatan sebagai pengerusi Umno dan BN. – 14 Mei, 2018.
Komen