UMNO perlu berubah secara menyeluruh, dari atas sampai ke akar umbi, kalau parti orang Melayu tunjang Barisan Nasional itu benar-benar mahu berubah selepas kalah pilihan raya umum yang baru lalu, kata ketua pemudanya Khairy Jamaluddin.
Perubahan menyeluruh itu termasuk memilih barisan pimpinan yang boleh menguatkan kembali Umno, tidak kira sama ada barisan pimpinan itu muda atau tidak berpengalaman.
“Umno perlu dinakhodai oleh barisan pemimpin yang mampu memimpin parti. Tak semestinya dalam bentuk muda atau tinggi tapi berdasarkan apa yang akar umbi mahu. Bukan soal orang muda atau orang lama.
“Kalau kita fikir pemuda jaga orang muda, wanita jaga wanita sahaja, itu pemikiran yang ‘obsolete’. Pengundi menilai parti kita,” katanya dalam sidang media di pejabat Pemuda Umno hari ini.
Khairy berkata parti tertua di Malaysia itu perlu mengambil masa untuk melakukan “muhasabah secara mendalam” kerana walaupun bekas presidennya, Najib Razak sudah meletakkan jawatan, kekalahan besar parti itu dalam PRU14 lepas adalah satu tanggungjawab bersama keseluruhan pimpinan parti.
“Sambil menunggu pembedahan mendalam kita kena terima prinsip utama iaitu tanggungjawab bersama dalam kekalahan ini.
“Kalau kami anggap kekalahan kerana seorang sahaja, kami tak dapat belajar sesuatu daripada perkara ini,” katanya lagi.
Pada PRU lepas, BN hanya menang 79 daripada 222 kerusi parlimen dengan Umno mendapat 54 berbanding 88 kerusi pada pilihan raya umum sebelumnya.
Bekas perdana menteri Najib Razak meletakkan jawatan sebagai presiden Umno dan BN kerana kekalahan itu Sabtu lalu. – 14 Mei, 2018.
Komen