WAKIL rakyat Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu bersedia untuk jadi “pembangkang yang berwibawa” seperti yang dituntut oleh pengundi selepas prestasi buruk gabungan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum yang lalu, kata ketua pemudanya, Khairy Jamaluddin.
“Jangan lupa tanggungjawab kepada rakyat, pengundi dan negara. Pertama, berkhidmad di kawasan. Kami ada 78 (wakil rakyat) BN and mesti berkhidmat kepada mereka. Kami mesti memainkan tanggungjawab sebagai pembangkang yang berwibawa.
“Pengundi walaupun menolak BN tapi berharap BN boleh mainkan peranan sebagai pembangkang. Mesej jelas dari rakyat ialah mereka sentiasa menilai kerajaan,” katanya dalam sidang media hari ini.
Khairy berkata buat masa ini, fokus beliau ialah untuk menstabilkan parti dalam jangka masa pendek.
Ini bagi membolehkan program seperti mesyuarat cawangan dijalankan segera dan membantu membentuk mereka jadi sebuah pembangkang yang berwibawa.
“Sebagai ketua pemuda saya mahu kita fokus, jangka pendeknya, stabilkan parti. Mesyuarat cawangan (adakan) dengan segera.
“Kekalahan BN masih segar dalam kalangan pengundi. Kita kena mula tugas kita sebagai pembangkang berwibawa,” katanya.
Sementara itu Khairy turut berkata sebarang dasar BN yang baik seperti Transformasi Nasional 50 (TN50) boleh diambil intipatinya oleh Pakatan Harapan jika ia memberi kelebihan kepada rakyat.
“Ini terpulang kepada kerajaan baru. Kalau sekiranya rasa program dan dasar lama boleh diguna pakai, guna lah. Saya tak boleh paksa mereka… siapalah saya?
“Cuma saya minta lihat dasar dan program secara objektif, bukan politik. Kalau program rasa tak betul, peruntukkan benda lain. Buat keputusan atas penilaian profesional,” kata beliau. – 14 Mei, 2018.
Komen