PROSES pengampunan Anwar Ibrahim mungkin tertangguh, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) memohon untuk melepaskan Anwar tetapi prosesnya masih belum selesai.
“Berkenaan janji kami untuk mendapatkan pengampunan untuk Anwar, ia akan diteruskan, tetapi proses perlu dipatuhi.
“Walaupun telah dipersetujui, mesyuarat Jawatankuasa Pengampunan Diraja mungkin ditangguhkan kerana kami mahu mematuhi peraturan,” kata Dr Mahathir dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Pemimpin berusia 93 tahun itu berkata, beliau tidak ada mendengar perkembangan terbaru daripada Anwar selepas pertemuan dua hari lepas.
Dr Mahathir juga menegaskan bahawa kerajaan PH akan mengikut “peraturan undang-undang” walau apa jua keadaannya.
“Kerajaan ini akan mematuhi peraturan undang-undang dalam melaksanakan tugas kami. Kami tidak akan lari daripada mematuhi proses undang-undang,” katanya.
Isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan bahawa beliau akan dibebaskan esok selepas Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan penuh.
Ketua umum PKR, Anwar dijatuhkan hukuman penjara selama 5 tahun sejak 2013 kerana didakwa melakukan perbuatan sodomi. – 14 Mei 2018.
Komen