Saya minta 3 nama calon Kabinet, tapi PKR bagi 10, kata Dr Mahathir


The Malaysian Insight

PKR memberikan 10 nama calon untuk mengisi jawatan menteri walaupun Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad meminta hanya tiga nama dari setiap parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi PH itu berkata, beliau akan mempertimbangkan 10 nama dari PKR untuk 10 kementerian awal, namun menegaskan yang keputusan muktamad berada ditangannya.

“Mereka cadangkan 10 nama walaupun kami meminta 3 nama. Kami akan memilih daripada nama yang dihantar.

“Saya akan menentukan siapa yang mendapat jawatan dan kementerian apa,” kata Dr Mahathir pada sidang media hari ini.

Pemimpin berusia 93 tahun itu mengulangi bahawa kabinet akan dikecilkan saiznya dengan jumlah menteri dikurangkan kepada 25 orang, sambil menambah yang ia akan diputuskan dalam masa dua minggu.

Dr Mahathir juga berkata terdapat kelewatan dalam menamakan kabinet disebabkan Amanah belum mengemukakan calon menteri mereka lagi.

Beliau menambah bahawa akan bertemu dengan keempat-empat ketua parti untuk memuktamadkan “10 kementerian teras” secepat mungkin. - 14 Mei 2018.




 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen