PROJEK terowong dasar laut dan tiga lebuh raya di Pulau Pinang akan diteruskan.
Ketua menteri Pulau Pinang yang baharu Chow Kon Yeow bagaimanapun berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dibenarkan meneruskan siasatan ke atss projek berkenaan tetapi kontraktor Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, akan meneruskan pembinaan.
Dengan kerajaan baharu Putrajaya, “kami harap Zenith dapat mengembalikan keyakinannya untuk meneruskan dan menyiapkan kajian kelayakan terhadap projek berkenaan,” katanya.
“Zenith akan memberikan laporan berhubung kajian kelayakan projek terowong berkenaan.”
Projek terbabit dalam siasatan SPRM sejak Januari berhubung kajian kelayakan yang tidak lengkap walaupun bayaran telah dibuat dan hak jualan tanah negeri.
Beberapa syarikat terlibat dalam projek berkenaan turut disiasat.
Zenith masih belum melengkapkan kajian kelayakan bagi terowong dasar laut, yang akan menghubungkan Butterworth dengan Gurney Drive di pulau. Barisan Nasional dalam manifesto pilihan rayanya berjanji untuk membatalkan projek berkenaan, yang merupakan sebahagian daripada projek besar termasuk tiga lebuh raya.
Chow berkata kerajaan negeri kini menyemak pelaksanaan dua daripada tiga lebuh raya, yang sudah mendapat kelulusan EIA (penilaian impak alam sekitar).
Dua jalan yang menghubungkan Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu dengan Air Itam, dan Teluk Bahang dengan Tanjung Bungah.
“EIA sudah diluluskan, hanya tinggal beberapa isu tanah persekutuan. Lami akan meminta Zenith memberi taklimat kepada kami berhubung pelaksanaannya,” katanya. – 14 Mei, 2018.
Komen