Pakatan tetap ingin mansuh Akta Antiberita Tidak Benar, kata Guan Eng


The Malaysian Insight

TIMBALAN Presiden Pakatan Harapan (PH) Lim Guan Eng berkata pendirian pakatan pembangkang berhubung Akta Antiberita Tidak Benar adalah jelas, mahu ia dimansuhkan.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang juga pengerusi PH, berkata Akta Antiberita Tidak Benar akan dikekalkan, tetapi diubah semula bagi memberikan definisi berita palsu dengan lebih jelas.

“Saya akan menjelaskan dengannya (Dr Mahathir) esok ... ia mesti dimansuhkan,” kata Lim kepada pemberita dalam sidang akhbar di Pulau Pinang hari ini.

“Walaupun kita kini kerajaan persekutuan, kita tidak dapat menentukan apa yang benar atau salah. Kebenaran mesti berdasarkan fakta.

“Kita semua tahu undang-undang itu diperkenalkan untuk menutup skandal 1MDB (1Malaysia Development Bhd).

“Saya yakin pendiriannya sama, termasuk PM,” kata Lim, yang merupakan dilantik menteri kewangan dalam Kabinet Dr Mahathir.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang juga menafikan satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan yang cukai barangan dan perkhidmatan akan dimansuhkan mulai 1 Jun di bawah kerajaan persekutuan PH.

“Satu-satunya orang yang boleh membuat pengumuman mengenai dasar adalah perdana menteri, dan beliau mengesahkan tidak membuat pengumuman sedemikian.

“Jangan percaya. Terdapat banyak berita palsu dan khabar angin yang berlegar,” katanya. – 14 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen