SEORANG peguam mempertikaikan kelewatan polis dalam melengkapkan siasatan terhadap Firdaus Wong berkaitan video pendakwah Islam itu yang dikatakan memberikan nasihat bagaimana pelajar bawah umur boleh memeluk Islam secara rahsia.
Rajesh Nagarajan berkata sudah berbulan-bulan sejak insiden itu berlaku dan mendakwa polis bersikap memilih dalam kes seperti ini.
“Sangat dikesalkan apabila polis, selepas begitu lama berlalu, masih gagal mengambil tindakan terhadap Wong.
“Ini adalah siasatan terpilih dan polis perlu bertanggungjawab kerana salah guna kuasa dan tidak melengkapkan siasatan terhadap Wong, sedangkan bukti jelas sudah diserahkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pada Jun, tular satu video menunjukkan Wong memberi nasihat kepada guru bagaimana untuk membantu remaja bawah umur bukan Islam menukar agama kepada Islam.
Video itu dimuat naik ke akaun TikTok Wong, mencetuskan kemarahan dan kritikan daripada beberapa pihak.
Klip video berdurasi empat minit itu menunjukkan Wong dan guru berkenaan membincangkan penukaran agama kepada Islam membabitkan pelajar tingkatan tiga, empat dan lima.
Video itu turut memberi nasihat bagaimana pelajar bukan Islam boleh menunaikan solat secara sembunyi tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.
Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia menganggap video itu sebagai tidak bermoral, bercanggah dengan perlembagaan dan tidak sah.
Beberapa laporan polis dibuat terhadap Wong selepas video itu tular, termasuk daripada aktivis Arun Dorasamy, yang diwakili oleh Rajesh.
Pada hujung Jun, Ketua Polis Petaling Jaya Shahrulnizam Ja’afar mengesahkan kertas siasatan dibuka terhadap Wong berhubung kes itu.
Dilaporkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan atas kesalahan mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum, yang boleh dihukum penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan bersalah. – 12 September, 2024.
Berita penuh di sini.
Komen