Kami akan sokong Ambiga jadi peguam negara, kata badan peguam


The Malaysian Insight

Aktivis peguam Ambiga Sreenevasan adalah calon yang layak untuk mengisi jawatan peguam negara, kata Presiden Badan Peguam Malaysia, George Varughese.

Bercakap kepada Malaysiakini, Varughese berkata Badan Peguam Malaysia akan menyokong Ambiga untuk jawatan tersebut memandangkan dia bukan seorang ahli politik dan bagi memastikan peguam negara bebas.

“Jika Ambiga dilantik sebagai AG baru, dia akan memastikan bahawa jabatan itu bebas daripada pengaruh politik dan campurtangan,” kata Varughese seperti dipetik Malaysiakini.

Ambiga adalah bekas presiden Badan Peguam dan juga pernah berkhidmat sebagai pengerusi kumpulan pembaharuan pilihan raya Bersih.

Beliau yang kini berusia 62 tahun juga merupakan salah satu daripada lapan penerima Anugerah Wanita Berani Antarabangsa AS pada tahun 2009.

Nama beliau muncul untuk jawatan peguam negara selepas Dr Mahathir Mohamad minggu lalu berkata negara itu pada masa ini tidak mempunyai peguam negara.

Perdana menteri itu sebelum ini menuduh Peguam Negara Mohamed Apandi Ali melindungi bekas perdana menteri Najib Razak berhubung skandal 1Malaysian Development Berhad.  – 14 Mei, 2018.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen