Bila jadi kerajaan, tidak perlu banyak cakap, kata Kon Yeow


Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata apabila dalam kerajaan, ia adalah masa untuk bertindak bukannya sekadar bercakap. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2024.

KETUA Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menunjukkan sisi tegasnya dalam satu temubual dengan media kerajaan negeri, Bulletin Mutiara di mana beliau berkata apabila dalam kerajaan, ia adalah masa untuk bertindak bukannya sekadar bercakap.

Menjelaskan keputusannya menarik diri daripada bertanding dalam pemilihan DAP negeri pada 22 September, Chow berkata:”Sebagai pembangkang, ada banyak suara dan perkara yang diperjuangkan.

“Tetapi sebaik saja jadi kerajaan, tiba masanya untuk bertindak dan memberikan hasil. Prinsip saya mudah saja: selepas 20 hingga 30 tahun dalam pembangkang, anda sudah cukup bercakap – sekarang masa untuk melaksanakannya. Tidak perlu lagi kata-kata, hanya tindakan diperlukan.

“Terutama sekarang, dengan kerajaan persekutuan sejalan dengan kita, kita ada banyak platform untuk membangkitkan isu dan memulakan projek. Kita bukan lagi pembangkang; kita sebahagian daripada kerajaan, dan ini memerlukan pendekatan berbeza,” katanya dipetik sebagai berkata.

Chow menekankan beliau sedang mengusahakan rancangan penggantinya dengan memastikan peralihan untuk kepimpinan parti yang baharu di negeri itu berjalan lancar selepas beliau memilih untuk tidak bertanding.

Selepas berkhidmat hampir 25 tahun selepas pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow dijangka menerima penggantinya selepas pemilihan muktamad hujung bulan ini, walaupun beliau akan kekal sebagai eksekutif kanan negeri itu untuk sekurang-kurangnya tiga hingga empat tahun lagi.

Beliau dijangka mengakhiri jawatannya sebagai ketua menteri kelima Pulau Pinang pada 2028 apabila penggal pilihan raya ke-15 tamat, kerana Pulau Pinang mengehadkan ketua menteri berkhidmat untuk dua penggal berturut-turut saja..

“Adalah adil untuk pengerusi baharu negeri mengetuai persiapan untuk pilihan raya negeri akan datang. Dengan tiga tahun sebelum pilihan raya negeri Pulau Pinang, pengerusi parti baharu akan mempunyai banyak masa untuk memastikan kesinambungan kepimpinan parti dan hala tuju dasar,” katanya.

Chow berkata pengalamannya masih ada untuk memberi sokongan kepada parti dan kerajaan pada masa akan datang. – 8 September, 2024.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen