KETUA Menteri Sabah Shafie Apdal memberi amaran untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana wakil rakyat pembangkang yang masih mahu bertindak sebagai kerajaan.
Beliau memberi amaran itu bagi mengulas tindakan Adun Tambunan, Jeffrey Kitingan hari ini yang memasuki pejabat timbalan ketua menteri, didakwa untuk memulakan tugas di jawatan berkenaan.
“Tiada mana-mana orang lain yang dibenarkan untuk pergi ke kementerian tanpa arahan dari kerajaan waktu ini.
“Saya rasa setiausaha kerajaan mengetahui perkara ini dengan begitu baik. Saya sudah maklumkan pada setiausaha kerajaan, Jeffrey tidak boleh pergi ke kementerian. Dia tidak patut dilayan.
“Jika mereka berkeras, kita akan ambil tindakan sewajarnya,” kata Shafie dalam sidang media pertamanya selepas memulakan tugas sebagai ketua menteri.
Shafie juga mengesahkan bahawa Yang di-Pertua Sabah Panglima Juhar Mahiruddin juga telahpun mengutus surat kepada Musa Aman bahawa bekas ketua menteri itu tidak lagi mempunyai mandat untuk memimpin kerajaan.
TYT (Tuan Yang Terutama) telahpun menasihati beliau dan menunjukkan kepadanya bahawa beliau tidak lagi mempunyai mandat.
“Itu sudah begitu jelas bahawa beliau tidak mempunyai pasukan untuk mendakwa dia masih ketua menteri,” katanya.
Musa sehingga petang semalam masih menyiarkan kenyataan bahawa beliau masih lagi ketua menteri yang sah. – 14 Mei, 2018.
Komen