POLIS akan menyiasat bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar jika ada laporan dibuat terhadapnya, lapor Berita Harian hari ini.
“Setakat ini, polis tiada perkara hendak disiasat tetapi jika ada asas atau laporan daripada pihak tertentu, kita akan jalankan siasatan jika perlu,” kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun selepas merasmikan Balai Polis Daerah di Jempol hari ini.
Khalid berkata beliau bersedia disiasat berhubung sebarang isu yang timbul sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Khalid dan Peguam Negara Apandi Ali dikatakan bakal disiasat berhubung skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Khalid mengetuai pasukan polis dalam siasatan 1MDB manakala Apandi membersihkan bekas perdana menteri Najib Razak dari sebarang kesalahan.
Apandi juga mengatakan bahawa Najib telah mengembalikan AS$620 juta kepada ahli kelurga diraja Saudi pada tahun 2013, selepas AS$681 juta yang didepositkan dalam akaun peribadi Najib antara 22 Mac 2013 dan 10 April 2013.
Wall Street Journal melaporkan bahawa wang itu berasal dari syarikat British Virgin Islands dan disalurkan menerusi Falcon Private Bank di Singapura. Falcon Bank didapati bersalah melakukan pengubahan wang haram oleh Pihak Berkuasa Monetari Singapura dan diarahkan untuk menutup operasinya.
Di bawah Khalid, pasukan petugas khas telah ditubuhkan untuk menyiasat 1MDB tetapi tiada tindakan diambil kerana fail siasatan masih terbuka apabila beliau bersara pada Ogos 2017.
Sementara itu, Fuzi berkata polis sedang memantau tetapi tidak menyerbu kediaman Najib di Kuala Lumpur.
“Kami hanya memantau untuk memastikan keselamatan di sekitar kawasan itu,” kata Fuzi. – 14 Mei, 2018.
Komen