KETUA Menteri Sabah Shafie Apdal berkata jaminan bahawa siasatan ke atas pentadbiran negeri sebelumnya akan dijalankan mengikut undang-undang dan pihak yang bersalah harus menghadapi pembalasan.
Katanya, siasatan berkenaan perlu berlandaskan kepada fakta yang jelas dan beliau berkata siasatan berkenaan akan dijalankan agensi persekutuan.
“Itu kita akan lihat, kita akan umum dalam beberapa perkara. Itu mesti mengikut undang-undang, tidak boleh berdasarkan dengar cakap.
“Kalau dahulu saya boleh direman, takkan orang lain tak boleh direman,” katanya lagi dalam sidang media pertamanya selepas memulakan tugas hari ini.
Ditanya lanjut sama ada arahan sudahpun dikeluarkan kepada mana-mana pihak dari meninggalkan negeri Sabah, Shafie berkata ia tertakluk kepada pihak berwajib.
“Kita akan lihat. Kalau kita ada sekatan untuk tidak boleh masuk, kenapa kita tidak ada sekatan untuk halang orang dari keluar.
“Tapi ini bukan kuasa saya. Imigresen yang punya kuasa, tapi ada sesetengah kuasa kerajaan negeri,” tambahnya.
Sementara itu Ketua Polis Sabah Ramli Din mengesahkan bahawa bekas ketua menteri Musa Aman sudahpun meninggalkan negeri itu.
Katanya, tiada apa-apa sekatan dikenakan ke atas bekas pengerusi Umno Sabah itu dari meninggalkan negeri berkenaan. – 14 Mei, 2018.
Komen