SIASATAN ke atas pembelian kapal selam Scorpene dan pembunuhan Altantuya Shaaribu yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Najib Razak harus dibuka semula, kata pemerhati anti rasuah, C4.
C4, atau Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme, berkata Najib dan rakannya Abdul Razak Baginda harus segera disiasat, termasuk semua yang lain yang turut terlibat dalam pembelian dua kapal selam berkenaan.
Razak telah didakwa oleh mahkamah Perancis pada Julai 2017 berkaitan dengan kes itu. Beliau mengetuai firma Perimekar Sdn Bhd dalam pembelian yang menyaksikan pembayaran € 114 juta (RM570 juta) komisen dan sogokan kepada pegawai Malaysia.
Najib merupakan menteri pertahanan ketika perjanjian itu dibuat pada tahun 2001.
Sementara itu, pembunuhan Altantuya telah dikaitkan dengan dakwaan pembayaran dan sogokan. Beliau juga pernah menjadi jurubahasa yang terlibat dalam perjanjian itu dan juga perempuan simpanan Razak.
“C4 menyeru semua pihak berkuasa untuk segera memulakan prosiding jenayah terhadapnya dan mereka yang terlibat dalam skandal rasuah ini,” kata C4 dalam satu kenyataan yang ditandatangani oleh pengarah eksekutifnya Cynthia Gabriel dan pegawai penyelidikan undang-undang Fadiah Nadwa Fikri.
C4 juga menyatakan bahawa Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperuntukkan prosiding jenayah terhadap rakyat dan penduduk tetap Malaysia apabila kesalahan rasuah itu dilakukan di luar negara. – 14 Mei, 2018.
Komen