PROJEK Lebuh raya Pan Borneo tidak akan dibatalkan tetapi akan diaudit, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen.
Chong dalam meyakinkan rakyat Sarawak bahawa projek bernilai RM22 bilion itu akan diteruskan, berkata ia akan menjalani semakan terperinci untuk memastikan setiap sen yang dibelanjakan diambil kira.
“Rakyat Sarawak jangan risau lebuh raya itu akan diteruskan walaupun ada perubahan dalam kerajaan,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.
Chong yang menang selesa di kerusi Stampin pada PRU14, berkata audit itu akan cuba membongkar “lapisan sub kontrak”.
“Semakan perlu dibuat untuk mengenal pasti siapa sebenarnya yang melaksanakan kontrak itu dan apa yang mereka sudah buat – jejak wang itu,” katanya.
Chong berkata setiap sen daripada wang itu sepatutnya untuk projek berkenaan, demi kepentingan rakyat dan bukan masuk ke poket “orang tertentu”.
Penganugerahan projek Lebuhraya Pan Borneo itu mencetuskan kritikan kerana Bustari Yusof, individu utama dalam syarikat itu ialah abang kepada bekas menteri kerja raya Fadillah Yusof dan rapat dengan bekas perdana menteri Najib Razak.
Chong berkata usaha akan dilakukan untuk mempercepatkan projek itu kerana kontraktor dikatakan sengat melengahkan kerja kerana bayaran kepada mereka masih tertunggak.
Katanya, semua projek besar persekutuan di negeri itu akan turut diaudit.
Lebuh raya sepanjang 2,000km itu menghubungkan Sematan di Sarawak hingga ke Serudong di Sabah. – 14 Mei, 2018.
Komen