4 nama disebut bakal jadi pesuruhjaya baharu SPRM


The Malaysian Insight

PUTRAJAYA tidak membazirkan masa untuk menggantikan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkifli Ahmad yang baru saja meletakkan jawatan.

Tidak sampai beberapa jam selepas peletakan jawatannya, empat nama sudah pun disebut-sebut sebagai pengganti Dzulkifli.

Senarai teratas ialah bekas timbalan ketua pesuruhjaya (operasi) SPRM Mohd Shukri Abdull, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Mustafar Ali dan dua lagi nama yang belum disahkan lagi.

Mustafar pernah menjawat timbalan pesuruhjaya (pencegahan) SPRM sebelum ditugaskan ke Jabatan Imigresen.

Sumber berkata Dzulkifli mengadakan mesyuarat dengan Ketua Setiausaha Ali Hamsa pada 8 pagi tadi, di mana beliau menyerahkan surat peletakan jawatannya.

Syarat perjawatannya ialah notis sebulan di penghujung kontrak lima tahun.

Dzulkifli dilantik pada 2016, maka beliau baru dua tahun berkhidmat daripada tempoh lima tahun perjawatannya. Belum dapat dipastikan sama ada beliau akan bercuti sepanjang tempoh sebulan itu, atau menyambung tugas seperti biasa hingga notis tamat.

Difahamkan Dzulkifli meminta dipindahkan semula ke jawatan lamanya di Pejabat Peguam Negara.

Jawatan terakhirnya di Pejabat Peguam Negara ialah ketua pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara dan sebelum itu, beliau mengetuai unit anti pengubahan wang haram.

Dzulkifli juga berkhidmat sebagai setiausaha pasukan petugas khas berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menggantikan Jessica Gurmeet Kaur selepas Mohamed Apandi Ali mengambil alih jawatan Abdul Gani Patail sebagai peguam negara.

Sumber berkata sebagai penjawat awam, Dzulkifli tidak boleh dipecat kecuali terdapat bukti yang mengaitkan beliau kepada kesalahan berkaitan jenayah.

Beberapa jam selepas peletakan jawatannya, suasana di pejabat SPRM kekal tenang.

“Keadaan biasa saja di pejabat. Kami juga tidak pasti siapa akan menggantikan bos,” kata sumber di SPRM.

Dzulkifli sebelum ini terpalit skandal, menyebabkan satu siasatan dilancarkan terhadapnya susulan didakwa menjalinkan hubungan sulit dengan isteri orang.

Namun, pada Mac, bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi melepaskannya daripada sebarang salah laku.

Dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo, Zahid berkata kes itu sudah ditutup kerana tiada bukti lagi untuk memanjangkan perkara berkenaan. – 14 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen