Kartunis Zunar kini boleh keluar negara


The Malaysian Insight

SEKATAN perjalanan ke luar negara ke atas kartunis Zunar sejak 16 bulan lepas telah ditarik balik, kata beliau.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwar Ulhaque memberitahu Malaysia Decides semakan beliau terhadap statusnya di portal Jabatan Imigresen Malaysia mendapati sekatan itu sudah tiada.

“Saya masih tak terima sebarang maklumat daripada pihak berkuasa tapi nama saya sudah tiada halangan untuk keluar negara,” katanya.

Zunar turut berharap agar kerajaan baru Pakatan Harapan tidak lagi menghalang individu dari keluar negara menggunakan” peruntukan khas” tanpa penjelasan mengikut Seksyen 59 Akta imigresen seperti yang dikenakan terhadapnya oleh pentadbiran Najib Razak.

“Ini bukan untuk saya sahaja tapi kepada kerajaan baru (diharap) tidak boleh lagi halang orang (keluar negara) atas alasan peruntukan khas,” katanya.

Zunar pertama kali dihalang ke luar negara pada Oktober 2016 dan menghadapi 9 pertuduhan kerana menyiarkan kartun berkenaan kes Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim serta bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansur.

Beliau kemudiannya mencabar keputusan tersebut sebelum ditolak Mahkamah Tinggi pada Disember tahun lalu atas alasan erikat kepada penghakiman Mahkamah Rayuan sebelum itu.

Hakim Azizah Nawawi berkata, beliau terikat dengan kes Tony Pua yang juga gagal mencabar keputusan ketua pengarah Jabatan Imigresen itu.

Pada 7 Julai lalu, Hakim Mahkamah Rayuan, Idrus Harun ketika mengekalkan penghakiman Mahkamah Tinggi berkata, walaupun hak untuk hidup dan kebebasan peribadi dijamin Perlembagaan, sebarang pelucutan hak itu dibenarkan jika ia dibuat mengikut undang-undang. – 14 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen