WAKIL rakyat pembangkang di Kedah tidak akan dianaktirikan dalam soal peruntukan untuk kebajikan rakyat, kata menteri besar yang baru, Mukhriz Mahathir.
Katanya, perkara itu sudah diputuskan dalam mesyuarat majlis pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah semalam, lapor Bernama.
Beliau bagaimanapun menjelaskan kaedah pemberian peruntukan itu akan diputuskan kemudian.
“Masa jadi pembangkang dahulu, perkara itulah yang kita bangkitkan kepada Barisan Nasional (BN). Tetapi bila dah jadi kerajaan ini, kita akan beri pertimbangan sewajarnya dan kaedahnya pula perlu diperhalusi lagi,” katanya, seperti dipetik oleh Bernama.
Menurut Mukhriz, keutamaan pentadbirannya sekarang ialah memastikan semua rakyat termasuk di kawasan yang diwakili pembangkang tidak ketinggalan dan dihukum hanya kerana mengundi pembangkang.
Mukhriz tiba di pejabat menteri besar di Wisma Darul Aman pukul 8 pagi tadi untuk memulakan tugas sebagai menteri besar yang baru selepas PH menumbangkan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) minggu lalu.
Sementara itu, Mukhriz berkata Bajet 2018 yang diluluskan oleh DUN Kedah tahun lalu akan diperhalusi semula selepas mengambil kira kedudukan sebenar hasil pendapatan negeri.
Beliau juga memberitahu semua projek kerajaan negeri dan syarikat milik kerajaan (GLC) melibatkan perbelanjaan lebih RM100,000 ditangguhkan terlebih dulu termasuk lima projek naik taraf loji rawatan air.
“Saya dapat tahu ada beberapa kontrak loji rawatan air ini telah ditandatangani dua hari sebelum PRU14 dan perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan saya akan dapatkan nasihat daripada penasihat undang-undang untuk pastikan sama ada surat tersebut sah atau tidak,” katanya, seperti dilaporkan Bernama.
Pentadbirannya juga akan cuba memenuhi manifesto PH yang dijanjikan dalam masa 100 hari pertama memerinta termasuk menyelesaikan masalah bekalan air.
Mengenai pelantikan anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri, Mukhriz berkata ia akan melibatkan wakil semua parti dalam PH dan pecahannya akan diumumkan kelak, dengan jaminan PKR akan dapat bahagian yang besar kerana menang kerusi PH paling banyak.
“Disebabkan Dewan Undangan Negeri juga berbelah bahagi, saya perlu mencari kaedah terbaik mengenai pemilihan dan pelantikan speaker dan timbalannya,” katanya. – 14 Mei, 2018.
Komen