Ditinggalkan kawan, Najib hanya mampu harap yang terbaik


The Malaysian Insight

DALAM keadaan biasa pun bagi perubahan rejim di Malaysia, kadar kecepatan Najib Razak ditinggalkan selepas PRU14 oleh golongan kaya dan berkuasa di negara ini, amat mengagumkan.

Pada Sabtu, hanya seorang ahli perniagaan melawatnya di rumahnya di Jalan Duta. Ahli perniagaan itu tidak termasuk dalam senarai ahli korporat kaya di Malaysia tetapi beliau menikmati kejayaan ketika zaman Najib dan mahu menunjukkan sedikit kesetiaan kepada bekas perdana menteri itu.

Tokoh korporat yang kaya bertambah kaya di bawah pentadbiran Najib dan ketua syarikat berkaitan kerajaan, serta mereka yang menikmati kelebihan apabila dianggap sebagai orang Najib, langsung tidak kelihatan.

Malah, ramai antara mereka sedang sibuk memburukkan Najib dan Rosmah Mansor serta memusingkan cerita bahawa mereka ditindas dan dipaksa.

Keinginan tiba-tiba untuk menjarakkan mereka dengan Najib amat difahami: perubahan rejim di Malaysia amat menyakitkan untuk ahli politik, ahli perniagaan dan rakan yang berkaitan dengan mereka yang kalah itu.

Selepas Abdullah Badawi tidak lagi mengetuai negara pada awal 2009 susulan pencapaian buruk Barisan Nasional (BN) pada PRU12, ahli perniagaan yang rapat dengannya tidak lagi mendapat peluang sementara ahli politik dikatakan menyokongnya, diketepikan.

Keadaan lebih teruk terkena penyokong Anwar Ibrahim selepas beliau tersingkir, dengan ramai antara mereka terpaksa melarikan diri ke luar negara.

Takut dihukum kerana menjadi orang Najib, menyebabkan ramai ahli perniagaan terkemuka memutuskan hubungan dengan bekas perdana menteri itu.

Ia kejatuhan yang mendadak untuk Najib. Beliau umpama banduan di rumahnya sendiri. Isterinya ada di sisi bersama anak lelaki kesayangannya, Ashman. Tetapi difahamkan anak perempuannya dan suaminya warga Kazakhstan meninggalkan negara sebaik saja selepas hari mengundi pada 9 Mei.

Mereka yang bertemu atau bercakap dengan Najib beberapa hari lalu berkata beliau masih terkejut dengan apa yang berlaku. Beliau juga terpaksa berdepan dengan keadaan ditinggalkan rakan-rakan, dan hakikat bahawa ramai yang mahukan beliau ditangkap dan dipenjarakan.

Dua orang kuatnya – Paul Stadlen dan Habibul Rahman meninggalkan Malaysia pada Khamis apabila cubaan saat akhir Najib untuk mempertahankan kuasanya tidak berjaya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengarahkan pihak berkuasa mengenakan sekatan perjalanan ke luar negara terhadap Najib dan isterinya, memetik banyak aduan diterima terhadap mereka berhubung kesalahan rasuah.

Malaysia Decides difahamkan Najib hanya tahu tentang sekatan perjalanan yang dikenakan terhadapnya ketika beliau dan isteri sedang dalam perjalanan menaiki Toyota Vellfire untuk menaiki pesawat ke Jakarta pada malam Jumaaf selepas program doa selamat sempena ulang tahun Umno ke-72.

Selepas mengetahui tentang sekatan itu dan menerima panggilan bahawa pesawat peribadi itu tidak ada, beliau pulang ke rumah.

Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin kanan Umno yang lain menjangkakan Najib akan meletak jawatan sebagai presiden parti selepas doa selamat pada Jumaat malam. Tetapi sebaliknya, Najib memberithau akan membuat pengumuman selepas beberapa hari berehat.

Beliau tidak sebut langsung akan meninggalkan negara ini.

Jadi pemimpin kanan Umno terkejut apabila keesokan harinya diketahui Najib dan Rosmah cuba ke Jakarta untuk beberapa hari bagi tujuan berehat.

Bagi melancarkan penyerahan kuasa dan keamanan untuk Umno Zahid bertemu Najib dan menggesanya mengumumkan peletakan jawatan sebagai presiden Umno pada Sabtu.

Jadi, apa langkah seterusnya untuk bekas perdana menteri itu?

Beliau berharap ada pemimpin luar negara yang dapat melakukan sesuatu untuk membolehkannya keluar dari Malaysia. Najib tahu tanpa campur tangan luar, beliau terpaksa berdepan dengan perbicaraan dan mungkin dipenjarakan kerana salah laku berkaitan skandal 1MDB.

Mereka yang arif dengan pemikiran Dr Mahathir berkata beliau tidak mahu memalukan individu yang pernah disokong untuk menjadi perdana menteri.

Tetapi beliau faham salah satu janji Pakatan Harapan dalam kempen pilihan raya ialah untuk membetulkan kesalahan dilakukan oleh Najib.

Dr Mahathir tahu ramai rakyat Malaysia mahu melihat Najib dihukum, dan beliau akan melaksanakannya.

Buat sementara waktu ini, Najib terpaksa menunggu, seperti banduan dihukum mati. – 14 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen