Suara sombong dalam kemenangan tidak terduga


The Malaysian Insight

APABILA berdepan dengan cabaran pertama selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sesetengah ahli politik kembali kepada perangai lama mengganggu pentadbiran yang ada.

Selama bertahun-tahun, begitu cara kerja kebanyakan ahli politik pembangkang. Mereka mengganggu dan terus mengganggu sehingga perubahan berlaku.

Tetapi apakah cara itu perlu apabila mereka adalah sebahagian daripada pakatan yang mentadbir negara?

Inilah yang mesti difahami oleh Rafizi Ramli dan Wong Chen daripada PKR. Kemenangan mereka dalam PRU14 tidak dijangka walaupun badan penyelidik mereka Invoke membuat ramalan yang berani.

Sekiranya PKR yakin menang, ia tidak akan memindahkan Nurul Izzah Anwar dari Lembah Pantai ke Permatang Pauh, kubu politik Anwar Ibrahim yang selama ini mendukung parti itu.

Begitu juga dengan PAS yang menang 18 kerusi Parlimen dan merampas Terengganu. Mereka boleh bertempik apa saja tetapi hakikat yang presiden parti Islam itu Abdul Hadi Awang tidak bertanding kerusi negeri Rhu Redang menunjukkan tahap keyakinan mereka untuk menang negeri itu.

Semua ini menunjukkan satu perkara. Kemenangan mereka dalam PRU14 adalah kerana gelombang kemarahan yang menyingkirkan Barisan Nasional (BN) dari kerusi kuasa. Ia adalah pertembungan antara Dr Mahathir Mohamad dan Najib Razak, dan perdana menteri keenam itu kalah.

Makanya, Dr Mahathir jadi perdana menteri dan Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi timbalannya. Bolehkah kita menganggap beliau akan duduk dengan Dr Mahathir untuk menentukan keanggotaan Kabinet dengan sekutu lain dalam Pakatan Harapan (PH)?

Rafizi dan Wong Chen yang tiba-tiba meledak di media sosial membayangkan mereka tidak yakin kepada kemampuan presiden parti mereka itu. Mereka terpaksa membantah supaya suara PKR didengar kerana ia parti terbesar dalam pakatan itu. Atau mereka mengganggu seperti lazimnya.

Hakikatnya begini. BN kalah lebih teruk dalam pilihan raya umum ini berbanding PH menang. Pilihlah yang terbaik untuk menguruskan negara sama seperti parti memilih yang terbaik untuk bertanding dalam pilihan raya.

Adakah ahli-ahli politik ini buat bising apabila sesetengah calon digugurkan daripada bertanding? Tidak.

Jadi biarlah Dr Mahathir memilih Kabinetnya dan memulakan tugas. Kalau mereka gagal melaksanakan 10 janji dalam masa 100 hari, selepas itu buatlah bising lagi.

Kerana sekarang ini, tidak ada bezanya nada sombong ahli-ahli politik ini dengan ahli politik yang mereka kalahkan. – 14 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen