MEMANDANGKAN syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bermula daripada Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), bekas menteri besarnya sedia menjadi saksi dalam kes salah laku syarikat itu.
Ahmad Said yang lebih dikenali sebagai Mat Said berkata beliau sedia memberi keterangan kepada pihak berkuasa pada bila-bila masa saja kerana tahu mengenai apa yang terjadi.
“Saya bersedia pada bila-bila masa untuk beri keterangan…saya tak boleh sembunyikan sebab ia syarikat yang ditubuhkan kerajaan negeri Terengganu asalnya.
“Saya tahu perjalanannya (1MDB) macam mana. Dulu saya juga pernah dipanggil ketua audit negara, saya terangkan apa yang berlaku,” katanya lapor Sinar Harian.
Semalam, Bernama melaporkan Majlis Penasihat Kerajaan yang baru ditubuhkan menegaskan mereka serius dalam melaksanakan tugas dan tidak membuang masa apabila mengadakan mesyuarat pertama sejurus pengumuman penubuhannya oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh bekas Menteri Kewangan Daim Zainuddin yang berlanjutan sehingga lewat malam, turut dihadiri oleh tiga anggota lain majlis itu iaitu bekas gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz, bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif Petronas Mohd Hassan Marican, dan ahli ekonomi Profesor Jomo Kwame Sundaram.
Susulan kekalahan teruk Barisan Nasional pada PRU14, 9 Mei lalu PH berjaya mengambil alih pemerintahan negara dan Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai perdana menteri ketujuh.
PH sebelum ini berjanji untuk menyelesaikan skandal utama negara termasuk 1MDB dan perkara itu termasuk dalam 10 janji yang akan dilakukan dalam masa 100 hari terawal PH mentadbir Putrajaya. – 14 Mei, 2018.
Komen