Patriot sokong tindakan 'tegas dan pantas' Dr Mahathir lantik 3 menteri


The Malaysian Insight

KUMPULAN veteran mempertahankan pelantikan tiga menteri yang dibuat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan menyatakan keputusan pantas dan tegas diperlukan untuk membawa pembaharuan di negara ini.

Presiden Persatuan Patriot Nasional, Mohamad Arshad Raji, berkata budaya mementingkan keuntungan diri sendiri sudah berlalu dan terdapat keperluan segera untuk pembaharuan negara.

“Patriot menyokong sepenuhnya keputusan Dr Mahathir, yang cepat dan tegas, kerana ia adalah penting.

Kenyataan kumpulan itu susulan kritikan terhadap Dr Mahathir oleh beberapa pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa pemimpin berusia 92 tahun itu gagal berbincang dengan semua anggota gabungan sebelum mengumumkan pelantikan menteri kewangan, menteri pertahanan dan menteri dalam negeri.

Pada Ahad, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli memberitahu portal berita Malaysiakini yang pelantikan ketiga-tiga menteri itu tidak muktamad, kerana keputusan itu dibuat tanpa penyertaan PKR.

“Setakat yang kami tahu, perbincangan perlu dilakukan,” kata Rafizi.

Para pemimpin DAP dan Amanah segera menegur Rafizi, mengatakan PKR sudah dimaklumkan tetapi parti itu tidak setuju dengan pelantikan, sementara parti lain bersetuju.

Pada Sabtu, Dr Mahathir mengumumkan pelantikan Lim Guan Eng (DAP) sebagai menteri kewangan, Mohamad Sabu (Amanah) sebagai menteri pertahanan dan Muhyiddin Yassin (Bersatu) sebagai menteri dalam negeri.

Arshad berkata terdapat ramai individu yang berkelayakan di luar bidang politik yang sanggup berkhidmat, bukan kerana wang atau glamor, tetapi demi untuk membantu.

“Pilih mereka dengan teliti dan gunakannya dalam pelbagai peringkat, kedudukan dan peranan yang diperlukan dalam pembinaan negara,” katanya.

Beliau berkata perlu ada semak dan imbang antara institusi kerajaan bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam tadbir urus serta untuk mencegah penyalahgunaan kuasa.

Arshad juga menggesa agar rakyat Malaysia bersatu dan berfikir demi kepentingan negara secara keseluruhan agar semangat patriotik rakyat bangkit semula. – 14 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen