Urusan berjalan seperti biasa di Jabatan Peguam Negara


The Malaysian Insight

WALAUPUN terdapat kekecohan dan khabar angin pergolakan besar susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), urusan berjalan seperti biasa di pejabat Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini.

Kawat berduri yang ditempatkan di depan bangunan Jabatan Peguam Negara di Putrajaya sudah dibuang dan tiada kawalan keselamatan yang ketat yang kelihatan sebagaimana hujung minggu lalu.

Mohamed Apandi Ali, yang perkhidmatannya belum lagi ditamatkan secara rasmi, tiba kira-kira pukul 8.30 pagi dan terus ke pejabatnya tanpa bercakap dengan pemberita.

Penjawat awam yang bekerja di pejabat itu juga bebas masuk dan keluar dari bangunan.

Pada sidang akhbarnya yang pertama sebagai perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad berjanji “ketua akan jatuh” di semua agensi kerajaan yang mana terbabit dalam rasuah, menamakan Pejabat Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia antara agensi yang akan “dirombak”.

Apandi membersihkan bekas perdana menteri Najib Razak daripasa sebarang salah laku berhubung skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Apandi menjadi peguam negara pada 2015, bagi menggantikan Abdul Gani Patail yang secara mengejut meletakkan jawatan, dengan menyebut “kesihatan tidak mengizinkan”. Peletakan jawatannya datang di tengah-tengah siasatan ke atas 1MDB.

Ada beberapa pemerhati percaya kenyataan Dr Mahathir itu membuka persoalan perundangan kerana Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan menyatakan yang peguam negara “tidaklah boleh dipecat daripada jawatan kecuali atas alasan dan mengikut cara sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan.”

Beberapa peguam lain mengatakan Apandi hanya boleh dibuang selepas pendengaran tribunal dan ada yang percaya Apandi perlu diberi hak untuk didengar, sementara yang lain berpandangan beliau boleh dipecat kerana dilantik setelah mendapat “perkenan Yang di-Pertuan Agong”. – 14 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen