Penganalisis ejek umur Dr Mahathir letak jawatan


The Malaysian Insight

PENGANALISIS politik Kamarul Zaman Yusoff, yang tiba-tiba popular selepas Dr Mahathir Mohamad muncul di sebuah forum di mana beliau mengecam pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu kerana usianya, kini menganggur.

Kamarul meletak jawatan sebagai pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM) pada Ahad, dengan berkata mahu memudahkan urusan semua pihak dan tidak mahu menyusahkan universiti itu susulan pandangan kritikalnya.

“Ssaya ingin memohon maaf secara terbuka kepada semua warga UUM yang tidak selesa kerana beranggapan nama UUM dan nama mereka turut terjejas dengan tindakan saya yang kritikal terhadap Dr Mahathir dan PH,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya.

Beliau berkata sudah timbul “suara-suara di UUM sendiri yang lantang mempersoalkan kedudukannya ekoran sikap kritikal itu”.

“Tidak saya nafikan walau ke mana pun saya pergi selalunya saya akan ditegur oleh mereka yang saya tidak kenali atas sifat saya selaku ahli akademik yang (kononnya) terkucil di hadapan Dr Mahathir dalam Wacana Sinar Harian pada 22 Mac, 2018.

“Tidak saya nafikan imej kritikal terhadap Dr Mahathir itulah, yang ditambah pula dengan pelbagai tulisan saya yang kritikal terhadap PH dalam Facebook saya, yang tertera dalam fikiran banyak pihak bila nama atau wajah saya timbul.

“Untuk memudahkan urusan semua pihak, saya dengan sukarela mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengarah Mapan, UUM berkuat kuasa pada hari pertama pejabat dibuka selepas PRU14, iaitu 14 Mei, 2018,” katanya.

Kamarul bertegas mengatakan semua pandangan itu atas kapasiti peribadi dan menafikan menjadi penyokong bekas perdana menteri Najib Razak daripada pentadbiran kerajaan terdahulu dan berkata beliau turut kritikan terhadap Barisan Nasional (BN).

Forum anjuran akhbar tempatan Sinar Harian itu turut menampilkan pakar psikologi dan perunding kesihatan, menjadi antara panel yang membincangkan sama ada umur Dr Mahathir menjejaskan kemampuannya menerajui negara.

Dr Mahathir kemudian tiba-tiba muncul selepas sejam forum itu berlangsung, hingga mengejutkan hadiri termasuk Kamarul.

“Ada forum tentang sama ada Tun M terlalu tua untuk jadi PM. Saya ada di sini. Cakap saja di depan muka saya,” kata Dr Mahathir menerusi Twitter dengan gambarnya duduk di barisan hadapan.

Dr Mahathir yang akan mencapai usia 93 tahun pada 10 Julai depan mengangkat sumpah perdana menteri pada Jumaat lalu. – 14 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen