Shafie Apdal mulakan tugas rasmi hari ini


The Malaysian Insight

PRESIDEN Warisan, Shafie Apdal hari ini memulakan tugas rasmi dengan memasuki pejabat ketua menteri Sabah.

Beliau tiba di pejabat di bangunan pusat pentadbiran negeri Sabah di Likas pagi ini dengan disambut pemimpin Warisan dan pemimpin NGO.

Shafie mengetik masuk di mesin perakam waktu secara rasmi kira-kira jam 11 pagi.

Shafie diberi taklimat mengenai pejabat baharunya di tingkat 32 oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Sukarti Wakiman.

Turut menyertai sesi taklimat itu adalah para pemimpin Warisan, timbalan presiden Darrel Leiking dan naib presiden Junz Wong, serta pengerusi DAP Sabah Stephen Wong.

Beliau dijangka membentuk Kabinet dan mengadakan mesyuarat pertama kerajaan hari ini.

Lima orang wakil rakyat yang tiba terlebih dahulu termasuk Presiden Upko Wilfred Madius Tangau, Abidin Madingkir (Adun Paginatan) dan Ewon Benedick (Kadamaian).

Hadir sama menyambut kedatangan Shafie adalah Adun Umno, Hamisa Samat (Tanjong Batu) dan Abdul Muis Picho (Sebatik).

Turut menyambut beliau adalah Ketua Polis Kota Kinabalu, M Chandra.

Kawasan ini dikawal ketat sejak awal pagi oleh pasukan komando polis yang dilengkapi topeng dan senjata automatik.

Kawalan ini ekoran kekeliruan yang timbul memandangkan bekas ketua menteri Musa Aman turut mengangkat sumpah jawatan itu terlebih dahulu, Rabu lalu. – 14 Mei, 2018.

Penyokong Warisan dan pemimpin NGO berkumpul di lobi Kompleks Pusat Pentadbiran negeri Sabah bagi menyambut kedatangan Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal yang akan memulakan tugas rasminya hari ini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen