DALAM tempoh beberapa tahun lalu, program berita setiap malam di TV3 menyerang Dr Mahathir Mohamad dan sesiapa saja yang tidak sealiran dengan pentadbiran Najib Razak.
Malah, ada yang buat lawak mengatakan pengarang Buletin Utama nampaknya berfikir bahawa Malaysia hanya dibentuk oleh Pulau Pinang dan Selangor – susulan liputan negatif setiap malam yang diberikan terhadap dua negeri ditadbir oleh pembangkang itu.
Malaysia Decides difahamkan bahawa pengarang kanan yang merangka liputan berat sebelah dan tidak adil itu sudah pun diminta meninggalkan Media Prima – mungkin langkah pertama dalam perubahan di media aliran perdana, susulan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) yang mengejutkan kepada Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Dr Mahathir.
Sumber berkata gergasi media itu memutuskan untuk melepaskan Ashraf Abdullah daripada jawatannya sebagai pengarah urusan kumpulan berita dan hal ehwal semasa. Kerajaan baharu dipercayai tidak memaksa melakukan tindakan itu.
Penjelasan lebih baik ialah penyingkiran Ashraf itu sebagai langkah awal oleh Media Prima untuk mengambil hati tuan baharu Malaysia.
Sejak Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, penyokong kerajaan baharu itu merangka senarai nama individu yang perlu dihukum kerana melakukan kerja kotor bagi rejim Najib.
Nama Ashraf berada antara yang teratas dalam senarai itu berikutan apa yang program berita Buletin Utama lakukan terhadap Dr Mahathir dan pengkritik Najib yang lain.
Walaupun pengarang dan wartawan lain di bilik berita tidak selesa dengan kecenderungan dan ketidakadilan liputan itu, mereka terlalu takut untuk mencabar Ashraf yang diketahui umum mendapat perlindungan daripada Habibul Rahman, “orang kuat” Najib.
Malah, Habibul yang memegang kata putus tentang bagaimana akhbar dan stesen televisyen arus perdana perlu membuat liputan sesuatu berita.
Difahamkan Habibul sudah berlepas ke London untuk mengelak pembalasan daripada musuhnya yang ramai dalam PH dan dunia korporat.
Kemenangan PH memberi kesan serta-merta terhadap landskap media dengan media tempatan dan stesen televisyen milik kerajaan tiba-tiba melaporkan cerita baik tentang Selangor dan Pulau Pinang.
Hari ini, CEO News Straits Times Jalil Abdul Hamid dijadualkan mengadakan mesyuarat dengan kakitangan kumpulan akhbar itu.
Kehadiran adalah wajib dan Jalil, yang pernah menyaksikan kejatuhan New Straits Times, akhbar paling membanggakan satu ketika dulu, dijangka memberi taklimat kepada wartawan tentang operasi landskap Malaysia baharu.
Kedudukannya agak tergugat kerana hubungan akrabnya dengan Habibul dan tindakan liputan akhbar itu terhadap pembangkang sebelum ini. – 14 Mei, 2018.
Komen