Ketika Umno berduka, ahlinya tertanya mampukah ia kembali


The Malaysian Insight

SEPATUTNYA sambutan ulang tahun ke-72 Umno akan diadakan dua hari selepas PRU14, tetapi suasana muram dan hanya kedengaran bisik-bisik di dewan di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, menimbulkan suasana seperti majlis pengebumian.

Mood suram pemimpin dan ahli Umno menunjukkan betapa luka bekas parti pemerintah itu masih berdarah akibat PRU14.

Ahli Parlimennya dan wakil rakyat di Sabah juga dilaporkan membuat rundingan lain yang akan menyebabkan Umno terbubar di negeri Malaysia timur itu. Ada juga bisiki-bisik mengatakan wakil rakyat Umno Perlis juga dikatakan akan melompat ke Pakatan Harapan (PH).

Di Dewan Tun Razak 2, ahli duduk dalam kumpulan kecil dan cuba untuk memproses kekalahan mereka paling teruk di tempat lahir parti Melayu itu, iaitu di Johor. Tidak ada VIP memberi ucapan seperti kebiasaannya.

Persoalan terbesar ialah bukan saja bagaimana ini semua boleh terjadi, tetapi juga bagaimana dan sama ada parti itu akan pulih daripada kekalahannya yang paling bersejarah itu.

“Umno tidak pernah kalah kuasa persekutuan. Jadi sekarang semua orang perlu bersatu dan belajar untuk jadi parti pembangkang,” kata ahli Umno Selangor Baharin Mohd Tahir.

“Tidak akan ada lagi ‘warlords’. Semua orang mesti berada pada paras yang sama,” katanya dengan kuat untuk didengar oleh ahli parti yang lain dalam dewan itu.

Umno selama ini mempunyai ketua bahagian yang menjadi orang tengah, bertindak seperti warlords. Mereka mengagihkan ganjaran kepada ahli biasa sebagai pulangan untuk kontrak besar daripada GLC di peringkat kepimpinan tinggi.

Selama bertahun-tahun budaya itu terpupuk, secara amnya dipanggil “politik wang” di mana wang itu raja.

Perselisihan yang berlaku antara ketua bahagian dan pemimpin peringkat negeri dan kebangsaan ketika pemilihan calon di Terengganu, Selangor dan Johor menyebabkan ahli memberikan undi protes terhadap parti pada PRU14.

“Kami perlu bermula dari kosong dan buang semua pemimpin yang memijak ahli biasa,” kata ahli Umno Lembah Pantai, Roslan Rasili.

Penyelidik politik Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata tidak seperti sebelum ini di mana Umno boleh bergantung pada kedudukan menteri yang dipegang ketuanya, parti itu kini perlu mencari dananya sendiri.

“Kekuatan utamanya ialah jaringan tetapi seseorang perlu berhimpun dengan mereka sekali lagi dan merangsang moral mereka,” kata Tunku Mohar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Jika ia dapat sumber untuk dibina semula, apa yang juga penting ialah perubahan minda. Umno perlu mula melihat dirinya sebagai parti dalam sistem pelbagai parti, bukannya parti yang secara automatik layak berada dalam kerajaan.

“Umno bukan tidak pernah menjadi parti pembangkang kerana ia memainkan peranan itu di beberapa negeri sebelum ini,” kata Prof Shamsul Amry Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia. 

“Tetapi kini ia perlu jadi pembangkang dalam tempoh lebih lama dan menyasarkan PRU14 dan PRU16 serta selepas itu, bergantung pada bagaimana gabungan PH dapat terus kekal bersama,” kata Shamsul Amry. – 14 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen