LEBIH separuh daripada 51 kerusi Parlimen di penempatan Felda menolak Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum baru-baru ini.
Daripada 26 kerusi yang kalah, 19 jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) sementara PAS menang tujuh kerusi. Baki 25 lagi kekal bersama BN.
Parti-parti bukan BN berjaya melipatgandakan kerusi mereka di Felda daripada enam pada 2013 kepada 26 pada PRU14.
Pada 2013, barisan pembangkang Pakatan Rakyat pada masa itu menang di Dungun, Kulai, Raub, Temerloh, Kuala Nerus dan Sg Siput sementara BN kekal menang di 45 kerusi lain.
Undi Felda jatuh kerana peneroka generasi kedua berjaya memujuk ibu bapa mereka untuk mengundi demi perubahan kali ini, kata Pengarah Ilham Centre Hisomuddin Bakar.
“Tekanan ekonomi, manifesto PH yang menarik ditambah dengan keseronokan ketika himpunan PH menawan imaginasi mereka yang diterjemahkan menjadi undi.
“Faktor utama lain ialah kempen BN yang tidak menarik keseronokan pengundi Felda, menghukum mereka kali ini,” kata Hisomuddin.
Aktivis Felda, Mazlan Aliman berkata Anak pada mulanya menyasarkan hanya 20 kerusi dalam Felda.
“Ini pencapaian bersejarah oleh peneroka Felda yang mengundi dengan berani untuk berubah,” kata Mazlan.
Beliau berkata NGO Felda bekerja keras untuk memastikan kejayaan PH.
Mazlan berkata Dr Mahathir memang ketara mempengaruhi peneroka Felda terutama golongan generasi pertama.
“Kehadirannya di kem pembangkang memberi kesan dalam kalangan generasi pertama. Saya tidak rasa mereka akan berubah jika tanpa Dr Mahathir,” katanya.
Menjelang PRU14, Felda berdepan dengan beberapa tuduhan rasuah seperti pemindahan tanah secara misteri di Jalan Semarak, Kuala Lumpur dan pembelian hotel yang terlalu mahal di London.
Felda Global Ventures juga menyaksikan perbalahan antara bekas pengerusi Mohd Isa Samad dan CEO Zakaria Arshad yang akhirnya menyebabkan Isa terpaksa keluar dari syarikat itu dan kemudian disiasat oleh SPRM berhubung transaksi berkaitan pembelian beberapa hotel di London.
Antara kerusi Felda yang jatuh kepada PH ialah kerusi milik Presiden MIC Dr S Subramaniam di Segamat, Presiden MCA Liow Tiong Lai (Bentong) dan Naib Presiden MCA Chua Tee Yong (Labis).
Dr Subramaniam dan Liow masing-masing ialah bekas menteri kesihatan dan menteri pengangkutan sementara Chua ialah bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa.
Antara kerusi lain yang tewas ialah di Kubang Pasu, kerusi milik Mohd Johari Baharum yang kini bekas timbalan menteri pertahanan. – 14 Mei, 2018.
Komen