Badan Peguam gesa kerajaan berikan kebebasan kepada pendakwa raya awam


The Malaysian Insight

BADAN Peguam Malaysia menggesa kerajaan untuk mengasingkan peranan pendakwaraya awam dari Pejabat Peguam Negara bagi mengelakkan konflik kepentingan.

“Menggugurkan peranan pendakwaraya awam daripada pejabat Peguam Negara adalah langkah penting bagi memperkukuhkan kebebasan pendakwa raya awam, serta menambahkan keyakinan awam kepada pejabat pengarah pendakwa raya awam.

“Prospek atau penampilan yang berat sebelah akan dibuang,” kata presiden Badan Peguam George Varughese.

Katanya, apabila dua peranan itu bergabung, akan tercetus konflik kepentingan apabila kepentingan anak guam Peguam Negara - kerajaan yang memerintah - tidak selari dengan kepentingan awam.

“Berdasarkan pengalaman sebelum ini menunjukkan situasi sebegini akan sering berlaku, seperti apabila disyorkan pegawai kerajaan atau ahli politik didakwa atas dakwaan kesalahan,” katanya.

Varughese berkata, kaum, agama dan jantina tidak boleh dijadikan kriteria apabila melantik Peguam Negara baharu.

Tambahnya, Peguam Negara perlu menjadi peguam kerjaya dan bukan peguam politik, tidak terlibat dengan politik berpihak, dan “berpengaruh dan diterima” sebagai bebas dan mampu melaksanakan perubahan undang-undang kerajaan baharu tanpa berpihak.

“Sebagai prinsip penasihat guaman kepada kerajaan, seseorang itu perlu mempunyai kemahiran perundangan keseluruhannya, dan mempunyai pengetahuan khas dalam perundangan perlembagaan,” katanya dan menambah Peguam Negara perlu memiliki “reputasi dan karakter yang tidak dapat dipertikai”.

Perdana menteri Dr Mahathir Mohamad semalam mengumumkan negara tidak lagi mempunyai Peguam Negara dan terdapat calon yang sedang dipertimbangkan untuk jawatan itu.

“Bagaimanapun, adalah tidak jelas sama ada khidmat Apandi Ali telah dihentikan, atau sama ada beliau diberikan cuti berikutan dakwaan serius beliau menyorokkan bukti salah laku,” kata Varughese.

“Dalam kedua-dua senario, kedaulatan undang-undang menuntut bahawa proses yang wajar dipatuhi, dan diberikan kepada, bekas Peguam Negara. – 13 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen