SURUHANJAYA Penerbangan Malaysia (Mavcom) sedang menyiasat dakwaan oleh Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tony Fernandes bahawa beliau diarahkan badan tersebut untuk membatalkan 120 penerbangan tambahan untuk membawa pulang pengundi pada PRU14.
“Mavcom memandang serius dakwaan-dakwaan ini. Kami telah memulakan siasatan segera terhadap dakwaan ini,” kata jurucakap Mavcom dalam satu kenyataan.
Dalam rakaman video di Facebook hari ini, Fernandes berkata dia dipanggil oleh Mavcom kira-kira 24 jam selepas pengumuman penerbangan tambahan dibuat dan diarahkan untuk membatalkannya.
Fernandes menjawab kritikan rakyat Malaysia selepas menyiarkan rakaman video yang menunjukkan sokongannya kepada pentadbiran Najib Razak.
Beliau juga menjelaskan yang beliau ditekan oleh bekas perdana menteri untuk mengetepikan pengerusi AirAsia X, Rafidah Aziz yang berkempen untuk Pakatan Harapan (PH).
Fernandes menegaskan bahawa video pertama itu dikeluarkan bagi meredakan tekanan oleh kerajaan, sambil menambah bahawa ia adalah pertimbangan yang salah. – 13 Mei, 2018.
Komen