APABILA Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pada Sabtu bahawa negara “tidak mempunyai peguam negara”, adakah ia bermaksud Mohamed Apandi Ali sudah disingkirkan?
Ada beberapa pemerhati percaya kenyataan Dr Mahathir itu membuka teka-teki perundangan kerana Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan menyatakan yang peguam negara “tidaklah boleh dipecat daripada jawatan kecuali atas alasan dan mengikut cara sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan.”
Manakala peguam lain menambah bahawa Apandi, yang dilantik sebagai peguam negara pada 2015 di bawah pentadbiran Najib Razak, hanya boleh dipecat selepas pendengaran tribunal dijalankan.
Ada juga yang percaya bahawa Apandi harus diberikan hak untuk bersuara sementara yang lain berpandangan bahawa dia boleh dipecat kerana dilantik setelah mendapat “perkenan Yang di-Pertuan Agong”.
“Secara asasnya, dia boleh digugurkan oleh baginda yang mesti bertindak atas nasihat jemaah menteri atau atas nasihat seorang menteri yang diberikan kuasa oleh jemaah menteri mengikut Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan,” kata peguam Anwar Ibrahim, Gurdial Singh Nijar.
Gurdial, yang merupakan bekas profesor undang-undang di Universiti Malaya menegaskan bahawa peguam negara adalah orang awam atau penjawat awam, dan maka itu tidak mempunyai jaminan pemilikan kerja.
“Mereka memegang jawatan tersebut atas ‘perkenan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 145(5),” kata Gurdial.
Penjelasan lain, kata Gurdial, adalah Dr Mahathir sebagai ketua kerajaan telah menamatkan, dan bukannya memberhentikan khidmat peguam negara.
“Penamatan di bawah kontrak berbeza dengan pemberhentian yang melibatkan penalti atau hukuman. Jika penamatan mengikut kontrak peguam negara, maka ia dibolehkan. Jika tidak adakah penamatan itu boleh dikatakan salah dan melanggar kontrak? Mahkamah Persekutuan memutuskan pada 1969 bahawa hak kontraktual tidak boleh mengatasi kes yang mana menentukan bahawa seorang penjawat awam itu memegang jawatan di atas perkenan: Haji Ariffin v Kerajaan Malaysia.
“Jadi kesudahan umumnya adalah bahawa perdana menteri secara berperlembagaan mempunyai kata putus dalam penyingkiran peguam negara. Lagipun dia adalah penasihat undang-undang kerajaan; dan ‘klien’ mempunyai hak untuk ‘menukar’ peguamnya pada bila-bila masa.”
Kes ini sama seperti penyingkiran peguam negara Gani Patail, yang kemudiannya digantikan dengan Apandi, secara tiba-tiba pada Julai 2015, semasa special task force menjalankan siasatan ke atas 1Malaysia Development Bhd.
Agong, menerusi nasihat perdana menteri, kemudian memberikan perkenaan kepada Apandi untuk dilantik sebagai peguam negara baharu.
Pandangan bahawa seseorang peguam negara hanya boleh disingkirkan “atas alasan dan mengikut cara sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan” adalah mengikut Perkara 145(6), tetapi menurut Gurdial perkara tersebut diperuntukkan untuk penyandang peguam negara pada 1963, kerana susunan kata-kata “Orang yang memegang jawatan Peguam Negara sebaik sebelum permulaan kuat kuasa Perkara ini”.
Perkara yang mana telah dipinda pada 1960, hanya dikuatkuasakan pada 16 September 1963, iaitu Hari Malaysia.
“Jadi perlindungan ke atas peguam negara telah dibuang menerusi pindaan ini,” kata Gurdial.
Guardial turut menolak kritikan bahawa pangkat peguam negara telah diturunkan dan dia tidak diberikan hak untuk didengar.
Meskipun penjawat awam dan ahli perkhidmatan kehakiman dan perundangan diberikan hak untuk didengar sebelum diberhentikan atau diturunkan pangkat, peguam negara dikecualikan di bawah Perkara 132(4)(b).
“Tetapi selain peranan sebagai pendakwa raya awam yang tugaskan kepadanya oleh Perlembagaan, peguam negara masih meneruskan tugas menjaga kepentingan awam - suatu hak yang diletakan kepadanya di bawah common law. Oleh kerana itu peguam negara meminjamkan namanya sebagai pengganti kepada mana-mana pihak yang ingin melindungi kepentingan awam.”
Guardial menambah bahawa peristiwa ini “mencadangkan keperluan untuk mengkaji semula peruntukan yang berkaitan dengan peguam negara, khususnya untuk menjamin kebebasan dan jaminan pemilikan kerjanya”. – 13 Mei, 2018.
Komen