RAFIDAH Aziz tampil mempertahankan ketua pegawai eksekutif AirAsia Tony Fernandes dan mengatakan beliau melindunginya ketika berkempen untuk Pakatan Harapan.
Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata, Tony seolah-olah dijadikan tebusan oleh rejim Barisan Nasional untuk memecatnya.
“Tony hanya cuba menenangkan dan menyenangkan. Silapnya dia tidak beritahu saya.
“Dia dah kena dengan saya untuk itu. Tiada apa yang peribadi, hanya silap membuat penilaian atau seperti yang saya beritahu kepadanya, kebodohannya,” kata Rafidah menerusi Facebook hari ini.
Rafidah yang juga pengerusi AirAsia X menambah jika Tony Fernandes memaklumkan kepadanya tekanan yang diterima daripada BN, beliau akan meletakkan jawatan.
“Saya beritahu Tony dan Din sekiranya merasa tertekan, saya akan letak jawatan. Saya beritahu mereka saya tidak minta kerja ini,” katanya merujuk kepada pengerusi AirAsia Kamaruddin Meranun.
“Tony tidak berganjak dan enggan bercakap tentangnya. Mereka berdua memberi respon mengatakan ‘tidak’. ‘Kami sayang kamu’- itulah kata-kata Tony.”
Dalam satu klip video do Facebook hari ini, Tony Fernandes menjelaskan video terdahulunya yang mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia. Beliau mengakui bahawa beliau dengan “bodohnya” menyangka video sebelum ini akan mengurangkan tekanan daripada kerajaan sebelum ini.
Beliau turut mendedahkan dirinya menerima tekanan untuk membatalkan 120 penerbangan tambahan yang beliau sediakan untuk membolehkan 26,000 rakyat Malaysia pulang mengundi.
Menurut Rafidah, beberapa ahli perniagaan lain turut menerima tekanan agar tidak menyokong PH. Mereka, dakwanya dikenakan cukai yang tidak masuk akal.
“Terlalu banyak yang menderita. Ada yang hilang pekerjaan kerana menyokong PH. Cukai dikenakan ke atas syarikat. Senarainya panjang,” tambahnya. – 13 Mei, 2018.
Komen