RAKAMAN Video yang menunjukkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad Tony Fernandes memohon maaf kepada rakyat Malaysia ekoran sokongannya terhadap Najib Razak sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 mengundang berbagai reaksi pengguna media sosial.
Di laman Facebook Fernandes, terdapat pengguna media sosial yang menganggap penjelasan Tony sebagai alasan dan sukar untuk menerima permohonan maaf tersebut.
“Saya dengar kurang 5 (minit). Saya hentikannya. Semua yang saya dengar hanyalah alasan,” kata Soo Min Vai.
Sementara itu, seorang lagi pengguna media sosial Sharifa Ali mengucapkan terima kasih kepada Fernandes kerana sanggup membuat video tersebut bagi menjelaskan kedudukannya.
Dalam rakaman video yang dimuat naik di Facebook beliau hari ini, Fernandes menjelaskan yang beliau dipaksa supaya menyokong kerajaan terdahulu.
Beliau juga mengakui pernah dipaksa supaya memecat bekas Pengerusi AirAsia X Rafidah Aziz, yang lantang mengkritik Barisan Nasional (BN) dan berkempen untuk Pakatan Harapan (PH).
Beliau enggan memecat Rafidah, kerana percaya yang ia bukan tindakan yang betul.
Tony turut mendedahkan bahawa beliau dipaksa untuk menghentikan 120 penerbangan yang membawa kira-kira 26,000 pengundi untuk pulang ke kampung halaman masing-masing. – 13 Mei, 2018.
Komen