Terpulang pada PM tentukan menteri kabinet, kata Dr Mahathir 


The Malaysian Insight

PERDANA menteri Dr Mahathir Mohamad menjawab pertikaian dalam Pakatan Harapan berhubung penamaan tiga ahli kabinet utama semalam, dan berkata pelantikan itu adalah ditentukan oleh perdana menteri selepas meneliti calon dan berunding dengan ketua parti mereka.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan secara langsung di TV1 hari ini, beliau berkata ketidaksepakatan antara parti berhubung pelantikan kabinet tidak dapat dielakkan.

“Ini akan ditentukan oleh perdana menteri. PM akan meneliti calon yang dinamakan oleh setiap parti komponen, dan akan memutuskan siapa yang akan memegang kementerian mana.

“PM, jika perlu akan memanggil setiap ketua daripada empat parti ini, untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai pilihan utama mereka, dan sekiranya tidak mencapai persetujuan, mengapa calon ini dipilih untuk memegang kementerian tertentu,” katanya.

Dr Mahathir mengumumkan setiausaha agung DAP Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan, presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai menteri dalam negeri dan presiden Amanah Mohamed Sabu sebagai menteri pertahanan.

Manakala presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai timbalan perdana menteri sebagaimana yang dipersetujui semua pihak dalam pakatan itu sebelum PRU14 lagi.

Namun pengumuman Dr Mahathir itu ditolak oleh naib presiden PKR Rafizi Ramli dan disokong oleh ahli Parlimen Subang Wong Chen yang juga dari PKR. Rafizi berkata pelantikan ini tidak mendapat persetujuan PKR dan rundingan masih berjalan, sementara Wong berkata PKR sebagai parti yag memenangi paling banyak kerusi antara parti PH lain sepatutnya diberikan jawatan utama dalam kabinet.

Terdapat juga laporan berita yang menyebut wakil PKR tidak menyertai mesyuarat PH semalam sebelum pengumuman itu dibuat.

Tambah Dr Mahathir keputusan dibuat oleh kabinet PH akan dibuat berdasarkan undi majoriti berikutan konsensu tidak akan selalu dicapai.

“Kita akan gunakan peraturan majoriti, kerana sekiranya kita lakukan dengan konsensus, kita tidak akan dapat mencapai keputusan. Jadi ini caranya bagaimana kit amulakan pentadbiran,” kata pengerusi PH itu.

Beliau mengumumkan kabinet PH lengkap tidak akan melebihi 30 orang menteri.

Bagi minggu seterusnya, beliau berkata PH menyasarkan untik menentukan 10 portfolio kabinet dan menteri.

“Setiap parti akan mempunyai lebih ramai wakil dan ada yang kurang, tetapi ini bergantung kepada perkadaran tetapi jika kita dapati parti tidak mendapat perkadaran, tambahan akan akan dibuat bila kita tentukan 25 ahli kabinet.

“Tetapi kita akan mempunyai ruang sekiranya mendapat kerjasama dari Sabah dan Sarawak dan oleh itu mereka akan calonkan wakil mereka untuk sertai kabinet, dan pada masa itu jumlah kabinet akan bertambah daripada apa yang kita ada sekarang, tetapi tumpuan kita adalah tidak lebih 30,” katanya.

Tambahnya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan ketua setiausaha semua kementerian esok untuk memberi taklimat mengenai kerajaan baharu. – 13 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen