Tak boikot, PKR tunggu di Cheras bersama Anwar


The Malaysian Insight

WAKIL PKR menunggu di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) untuk pemimpin Pakatan Harapan (PH) membincangkan mengenai barisan Kabinet, kata Timbalan Presiden parti Azmin Ali hari ini.

Beliau berkata PKR mahu Ketua Umum parti itu Anwar Ibrahim turut serta dalam perbincangan semalam.

“Ini bukan soal kami memboikot. Tetapi, kami mahu Anwar sebagai ketua umum untuk turut serta dalam perbincangan tersebut. Kami menunggu di hospital.

“Kami sudah cuba memujuk ahli majlis untuk bertemu di hospital. Amat malang Anwar tidak dapat menyertai mesyuarat yang diadakan semalam,” katanya kepada pemberita pada acara sambutan kemenangan PH di Gombak.

Menteri besar Selangor itu berkata perbincangan tentang jawatan lain dalam Kabinet belum dimuktamadkan dan masih berjalan.

Azmin berkata perbincangan ini akan turut melibatkan Anwar dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Anwar, yang masih menjalani hukuman penjara, menerima rawatan di pusat tersebut susulan pembedahan di bahunya.

Beliau dijangka diberi pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong selewat-lewatnya minggu ini.  – 13 Mei, 2018.



 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen