KERAJAAN akan memansuhkan undang-undang yang menyekat aktiviti perniagaan dan memberi keutamaan kepada syarikat tempatan untuk terlibat dalam projek pembangunan negara, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.
“Kita tidak ingin melihat terlalu banyak undang-undang yang menyekat kebebasan berniaga dan mengadakan perusahan.
“Kita mahu supaya semua pihak boleh buat perniagaan secara lebih bebas, lebih bebas. Kita Mengalu-alukan pelaburan sama ada dalam negeri ataupun luar negeri,” katanya pada sesi penerangan khas secara langsung sebentar tadi.
Beliau berkata pelaburan langsung asing akan terhad kepada modal dan teknologi (pelaburan) ke negara ini, untuk menubuhkan kilang, dan untuk mengeluarkan barangan untuk kegunaan domestik atau eksport.
“Kita dapati rakyat Malaysia sudah cekap dalam bidang pembangunan. Kita boleh dirikan bandar kita sendiri dan lain-lain keperluan rakyat. Semua ini terbuka kepada syarikat-syarikat tempatan.
“Jadi kalau ada infrastruktur projek yang besar, hanya kalau kita tidak ada kepakaran sahaja, barulah kita benarkan penyertaan (syarikat) asing. Semuanya akan melalui sistem tender terbuka. Kalau dalam tender terbuka itu pemilihan yang dibuat itu ternampak sesuatu yang ganjil, maka kerajaan akan selidik melalui penjawat-penjawat tertentu yang akan diberi tugas menyelidik,” katanya.
Pakatan Harapan (PH) dalam manifestonya antara lain berjanji akan menyemak semula kontrak pelaburan China termasuk projek bernilai RM55 bilion seperti projek Landasan Keretapi Pantai Timur.
Di bawah pentadbiran sebelum ini, Malaysia merupakan negara keempat terbesar menerima pelaburan secara langsung dari China, menurut Unit Perisikan Economist. Kedudukan itu meningkat dari tangga ke-20 pada 2015. – 13 Mei, 2018.
Komen