Wakil rakyat digesa setia kepada pengundi, elak pembelotan


The Malaysian Insight

KUMPULAN pro autonomi Sarawak for Sarawakian menggesa semua ahli Parlimen di negeri itu untuk “kekal setia dengan kehendak” pengundi, berikutan terdapat laporan parti di bawah Barisan Nasional di negeri itu merancang untuk menyertai Pakatan Harapan.

“Pengundi Sarawak sudah menjelaskan kehendak mereka,” kata jurucakap kumpulan terbabit Peter John Jaban dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pengundi memberi kemenangan besar kepada bekas ketua menteri Adenan Satem pada pilihan raya negeri pada 2016, kerana pendiriannya terhadap autonomi Sarawak.

“Bagaimanapun, di peringkat persekutuan, mereka menolak rasuah dengan menukar sokongan dalam jumlah yang besar kepada Pakatan Harapan, kini kerajaan memerintah, walaupun di beberapa kerusi luar bandar yang sebelum ini tertakluk kepada dakwaan membeli undi dan penipuan pilihan raya.

“Ini merupakan petanda politik demokratik matang di Sarawak dan ia perlu dihormati dengan apa sekalipun. Kerajaan negeri diberi mandat dan perlu memberi sokongan sementara wakil persekutuan baharu ada tugas yang perlu dilaksanakan.”

Menurut Peter John, sebarang cubaan untuk “beralih arah” dilihat sebagai memperlekehkan prinsip bahawa mereka dipilih dan ia “satu tamparan kepada pengundi”.

“Apa yang penting, Sarawak berhak emmiliki pembangkang yang kuat di peringkat negeri untuk merangsang perbahasan dan pembangunan demokrasi, sesuatu yang akan lenyap sekiranya komponen BN diterima oleh PH.”

Beliau turut menyokong kenyataan pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen dan pemimpin PKR negeri Baru Bian untuk menolak cubaan membawa parti komponen BN ke dalam PH.

“Malah, (menteri pelancongan negeri BN) Karim Hamzah enafikan dakwaan bahawa (parti BN) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) berniat menyertai PH.

“Mereka ini wakil Sarawak yang dipilih dan mereka perlu tegakkan visi yang dibawa oleh parti mereka. Laporan bahawa gabenor Sarawak (Taib Mahmud) cuba berunding amat menakutkan. Ini adalah lelaki yang tidak memegang jawatan yang dipilih, justeru tidak berhak bercakap bagi pihak rakyat Sarawak.”

Tambahnya, sekiranya Pakatan Harapan mahu mengambil kerajaan negeri Sarawak, mereka perlu memenanginya sendiri melalui pilihan raya negeri akan datang. – 13 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen